LATEST
National

Johor luluskan tabung amanah pembangunan sukan biayai pembangunan atlet, jurulatih, pegawai sukan

Johor luluskan tabung amanah pembangunan sukan biayai pembangunan atlet, jurulatih, pegawai sukan

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor meluluskan penubuhan Kumpulan Wang Amanah Tabung Pembangunan Sukan Negeri Johor.

Baca juga: SUHAKAM gesa Malaysia sertai konvensyen kehilangan paksa, gubal akta khusus

Penubuhan kumpulan wang amanah itu adalah mengikut Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957, akan membiayai pembangunan atlet, jurulatih, pegawai sukan dan pasukan membawa nama Johor dan Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah, berkata tabung terbuka kepada semua termasuk syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun, pertubuhan serta individu dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, kelulusan penubuhan tabung berkenaan diperolehi pada hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Khamis minggu lalu.

Katanya, dana yang terkumpul akan disalurkan dengan persetujuan Jawatankuasa Kumpulan Wang bagi enam skop utama.

“Ini bagi membiayai pembangunan atlet, jurulatih, pegawai sukan dan pasukan yang mewakili Johor dan Malaysia, latihan, kem latihan, penyelidikan dan pembangunan bakat serta penyertaan dalam pertandingan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Selain itu, elaun, insentif dan honorarium yang diluluskan; infrastruktur, peralatan dan kemudahan sukan khusus serta penganjuran kejohanan rasmi, promosi dan pemasaran sukan,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Belanjawan Johor 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Mohd Hairi berkata, Kementerian Kewangan melalui Bahagian Cukai pada 4 November lalu, mengesahkan setiap sumbangan kepada tabung berkenaan layak dituntut sebagai potongan cukai pendapatan, bersamaan 100 peratus daripada amaun disumbangkan.

Katanya, kelebihan itu memberi nilai tambah besar kerana sumbangan kepada kumpulan wang amanah Kerajaan Negeri di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 tidak tertakluk kepada had 10 peratus pendapatan agregat, seperti derma kepada pertubuhan atau tabung yang diluluskan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.

“Setiap ringgit disumbangkan untuk sukan Johor boleh ditolak sepenuhnya daripada pendapatan agregat penyumbang.

“Sumbangan kepadanya dikira sebagai sumbangan kepada Kerajaan Negeri di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 dan tidak tertakluk kepada had 10 peratus itu,” jelasnya.

Pada masa sama, Mohd Hairi memberi jaminan setiap sen dalam tabung itu akan diurus secara teratur dan diaudit sepenuhnya.

Beliau berkata, tabung itu ditadbir sebuah jawatankuasa dipengerusikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) selaku Pegawai Pengawal, dengan Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor sebagai Timbalan Pengerusi.

Katanya, ia turut dianggotai wakil Pegawai Kewangan Negeri, Bendahari Negeri, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri dan Bahagian Kerajaan Tempatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news