LATEST

MB baharu atau kekal? Zahid serah pengumuman kepada istana

MB baharu atau kekal? Zahid serah pengumuman kepada istana

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Istana Negeri Sembilan untuk mengumumkan hasil pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, susulan persoalan mengenai kedudukan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Memetik laporan Astro Awani, Ahmad Zahid berkata sesi menghadap yang turut disertai beberapa pemimpin kanan BN pada Khamis berlangsung dalam suasana tenang. Menurutnya, keputusan yang dipersetujui akan dimuktamadkan menerusi kenyataan rasmi istana.
“Biarlah kenyataan daripada istana itu sebagai memuktamadkan keputusan yang telah kami sama-sama persetujukan,” katanya selepas menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan pelantikan Menteri Besar baharu, Ahmad Zahid berkata pengumuman mengenainya terserah kepada istana. Beliau turut memberikan jawapan sama ketika ditanya sama ada keputusan itu melibatkan pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu.

“Insya-Allah dalam masa terdekat,” katanya mengenai bila keputusan itu dijangka diketahui.

Sesi menghadap pimpinan BN bermula pada jam 3 petang. Turut hadir ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said. Mereka meninggalkan Istana Hinggap kira-kira jam 4.15 petang.

Terdahulu, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh menghadap Tuanku Muhriz pada jam 1.18 petang. Itu merupakan sesi menghadap ketiganya sejak kemelut berkaitan kedudukannya sebagai Menteri Besar tercetus pada 16 November lalu.

Kenderaan yang membawa Ismail kemudian dilihat memasuki semula pekarangan Istana Hinggap pada jam 4.25 petang, kira-kira 10 minit selepas Ahmad Zahid meninggalkan istana.

Sumber: Astro Awani (Shuhada Abdul Kadir)

Latest news