LATEST
National

Untung bersih Hong Leong Bank meningkat kepada RM1.15 bilion

Untung bersih Hong Leong Bank meningkat kepada RM1.15 bilion

KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank Bhd (HLB) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 5.1 peratus kepada RM1.15 bilion pada suku pertama berakhir 30 September 2026.

Baca juga: Inspektor Sheila Dapat Kebenaran Cabar Pemecatan, Mahu Kembali Bertugas

Ia disokong oleh pertumbuhan kukuh portfolio pinjaman dan pembiayaan, pengurusan kos berkesan serta kualiti aset yang baik.

Jumlah pendapatan bank itu meningkat 1.5 peratus kepada RM1.71 bilion, dipacu pengembangan portfolio pinjaman dan pembiayaan, dengan margin faedah bersih (NIM) berada pada 1.82 peratus.

Keuntungan sebelum cukai pula meningkat 4.6 peratus kepada RM1.41 bilion.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HLB, Kevin Lam, berkata bank itu memulakan tahun kewangan baharu dengan prestasi kewangan yang berdaya tahan meskipun berdepan persekitaran perniagaan dinamik dan cabaran makroekonomi.

“Portfolio pinjaman dan pembiayaan kasar kami berkembang 7.5 peratus tahun ke tahun kepada RM227.7 bilion, disumbangkan oleh pengembangan dalam segmen gadai janji, pinjaman kenderaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perbankan komersial, selain pasaran utama luar negara.

“Kami kekal komited menyokong keperluan pembiayaan pelanggan menerusi penyelesaian perbankan berteraskan pelanggan, sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk membantu isi rumah dan PKS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Portfolio pinjaman dan pembiayaan PKS HLB meningkat 10.9 peratus kepada RM44.8 bilion, sekali gus meletakkannya sebagai bank ketiga terbesar di Malaysia dari segi pinjaman dan pembiayaan kepada segmen berkenaan, menurut bank itu.

Pinjaman kepada perusahaan perniagaan domestik pula meningkat 12.2 peratus kepada RM76.2 bilion, manakala pinjaman gadai janji kediaman berkembang 6.4 peratus kepada RM108.7 bilion.

Portfolio pinjaman dan pembiayaan kenderaan meningkat 7.8 peratus kepada RM26.7 bilion, disokong kerjasama berterusan dengan jenama automotif terkemuka serta penyertaan dalam segmen pertumbuhan seperti kenderaan elektrik (EV).

Bagi operasi luar negara, pinjaman di Singapura dan Vietnam masing-masing mencatatkan pertumbuhan 33.7 peratus dan 15.4 peratus.

Sementara itu, deposit pelanggan meningkat 4.5 peratus kepada RM247 bilion, manakala deposit akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) berkembang 6.5 peratus kepada RM81.8 bilion.

HLB turut mengekalkan kualiti aset yang baik dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) pada 0.57 peratus, manakala nisbah kos kepada pendapatan berada pada 36.1 peratus.

Mengulas prospek ekonomi, Lam berkata, HLB menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan menjelang 2027, didorong pengembangan permintaan domestik dan luaran.

Katanya, aktiviti pelaburan berterusan, penggunaan domestik yang disokong pasaran buruh yang sihat serta bantuan dasar kerajaan dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Langkah fiskal dan percukaian menerusi Belanjawan 2027 serta peningkatan aktiviti pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 juga akan membantu merancakkan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news