mukhriz.husin@bh.com.my
Baca juga: Johor luluskan tabung amanah pembangunan sukan biayai pembangunan atlet, jurulatih, pegawai sukan
Kuala Lumpur: Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan tindakan undang-undang terhadap Google dengan tuntutan ganti rugi RM600 juta disifatkan sebagai langkah berasas dan wajar diteruskan untuk diuji di mahkamah.
Pakar keselamatan siber, Aaron Ikram Mokhtar berkata, tindakan itu perlu dilihat berdasarkan dakwaan kegagalan Google mematuhi kewajipan undang-undang dan syarat pelesenan yang ditetapkan apabila tidak menangani kandungan memudaratkan di platform YouTube secepat mungkin.
“Namun, jumlah RM600 juta dan pembahagiannya kepada ganti rugi am, teruk serta teladan perlu dibuktikan dengan bukti kukuh.
“Menurut MCMC, daripada 74,703 laporan yang dikemukakan kepada YouTube antara 1 Januari hingga 28 Oktober 2026, sebanyak 74,569 atau 99.8 peratus membabitkan perjudian dalam talian.
“Daripada jumlah itu, MCMC mendakwa 4,950 laporan tidak mendapat sebarang tindak balas, manakala 1,468 kes mengambil lebih 30 hari dan 35 kes mengambil lebih 90 hari untuk diambil tindak atau diturunkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam media melaporkan MCMC memulakan tindakan undang-undang terhadap Google dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta menerusi dua saman berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan memudaratkan di YouTube.
MCMC berkata, setiap saman membabitkan tuntutan RM300 juta, dengan masing-masing RM100 juta bagi ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
Saman pertama membabitkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap ribuan kandungan memudaratkan, termasuk perjudian dalam talian dan penipuan berasaskan dakwaan pelanggaran peruntukan undang-undang dan syarat lesen serta kecuaian.
Bagi saman kedua pula membabitkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya di bawah undang-undang dan bertindak secara proaktif berhubung penerbitan semula kandungan yang didakwa melanggar undang-undang di YouTube oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang juga dikenali sebagai Papagomo.
Mengulas lanjut, Aaron Ikram berkata, jika angka jumlah laporan berkenaan dapat dibuktikan di mahkamah, ia memberikan asas munasabah untuk mempersoalkan kepatuhan sistem tindak balas YouTube itu dalam memenuhi piawaian yang ditetapkan menerusi undang-undang dan syarat pelesenan.
Menurutnya, Google terikat dengan kewajipan khusus di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 serta syarat lesen yang perlu dipatuhi dalam mengendalikan platform berkenaan.
“Tindakan MCMC itu wajar untuk diuji di mahkamah, terutamanya kerana ia didakwa berdasarkan kegagalan Google mematuhi kewajipan undang-undang dan syarat pelesenan.
“Namun, MCMC perlu membuktikan yang Google benar-benar gagal dan bukan sekadar lambat,” katanya.
Katanya, suruhanjaya itu juga perlu membuktikan kegagalan berkenaan menyebabkan kerugian yang boleh dikira, selain memastikan jumlah tuntutan RM600 juta adalah munasabah.
Beliau berkata, tuntutan berkenaan yang merangkumi ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan masing-masing perlu mempunyai asas pembuktian tersendiri di mahkamah.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata tindakan MCMC itu berlandaskan Seksyen 623 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, khususnya berkaitan tanggungjawab penyedia perkhidmatan berlesen dalam aspek penyederhanaan kandungan (‘content moderation’).
Menurut beliau, langkah suruhanjaya itu perlu dilihat dari sudut kedaulatan undang-undang dan tanggungjawab penyedia platform digital dalam memastikan kandungan yang disiarkan tidak memudaratkan pengguna.
Katanya, terdapat dua isu utama yang menjadi perhatian dalam tindakan berkenaan, iaitu kandungan berkaitan jenayah siber termasuk penipuan dan perjudian dalam talian, selain kegagalan Google menurunkan kandungan tertentu selepas menerima arahan MCMC.
“Isu ini bukan hanya membabitkan YouTube, malah turut melibatkan enjin carian Google yang memaparkan pelbagai iklan, termasuk iklan yang melanggar undang-undang.
“Selain itu, tindakan berkenaan turut membabitkan kandungan berkaitan Papa Gomo yang tidak diturunkan selepas MCMC mengeluarkan arahan supaya ia dipadamkan dalam tempoh 12 jam,” katanya.
Beliau berkata, tindakan terhadap penyedia platform digital perlu diberikan perhatian memandangkan Google bukan sekadar menyediakan ruang kepada pengguna untuk memuat naik kandungan, malah turut memperoleh keuntungan melalui iklan yang dipaparkan berdasarkan jumlah tontonan.
Oleh itu katanya, tidak wajar penyedia platform melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada individu yang memuat naik kandungan, sedangkan mereka mempunyai keupayaan teknikal untuk menyekat atau menurunkan kandungan terbabit.
“Ia bermakna, terdapat dua pihak yang perlu dipertanggungjawabkan iaitu individu yang memuat naik kandungan berkenaan dan penyedia platform itu sendiri.
“Pihak yang bertanggungjawab untuk menurunkan kandungan ialah penyedia platform itu sendiri, manakala MCMC boleh mengeluarkan arahan supaya kandungan diturunkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd