Kaedah penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2027 yang mewajibkan ibu bapa hadir sendiri ke sekolah untuk menerima bantuan RM200 mengundang persoalan susulan pendirian berbeza pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika mengkritik kaedah agihan Bantuan Kasih Johor (BKJ) sebelum ini.
Persoal kosistensi Perdana Menteri
Menerusi satu kenyataan daripada Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah menyatakan, situasi itu menimbulkan persoalan mengenai konsistensi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah mengkritik kaedah penyerahan bantuan secara bersemuka ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Baca juga: Tindakan undang-undang MCMC ke atas Google RM600 juta berasas
Menurutnya, Menteri Pendidikan turut diingatkan supaya tidak menyerahkan bantuan kepada ibu bapa yang gagal hadir sendiri ke sekolah.
“Pada masa yang sama, Menteri Pendidikan diingatkan supaya tidak menyerahkan bantuan itu kepada ibu bapa yang tidak hadir.
“Tidak salah menyerahkan bantuan secara bersemuka. Namun, apabila Kerajaan Negeri Johor menyalurkan BKJ dengan cara yang sama, pemimpin PH mengkritiknya.
“PMX sendiri turut mengkritiknya semasa PRN Johor. Kini kaedah bersemuka dijadikan syarat bagi BAP, maka timbul persoalan sama ada pendirian mereka konsisten,” katanya.
BKJ buat penambahbaikkan lepas ditegur
Mengulas lanjut, Md Israk berkata kerajaan negeri sebelum ini turut melakukan penambahbaikan terhadap agihan BKJ selepas menerima teguran, termasuk membenarkan wakil mengambil bantuan bagi penerima uzur dan OKU serta menghantarnya terus ke rumah bagi mereka yang tidak mampu hadir.
Beliau turut membangkitkan cadangan ADUN Stulang dan Skudai supaya bantuan dikreditkan terus ke akaun bank, selain mengekalkan agihan tunai serta menyediakan kaunter bergerak bagi penerima yang memerlukan.
Katanya, pendekatan sama wajar dipertimbangkan dalam pelaksanaan BAP yang melibatkan kira-kira 5.3 juta murid di seluruh negara.

Dalam pada masa yang sama, eliau mengingatkan bahawa ibu bapa yang bekerja syif, pekerja gig, ibu atau bapa tunggal serta golongan uzur mungkin berdepan kesukaran untuk hadir ke sekolah.
“Anak-anak tidak sepatutnya terlepas bantuan hanya kerana ibu bapa mereka tidak dapat hadir pada hari yang ditetapkan.
“Dasar bantuan rakyat wajar dinilai dengan ukuran yang sama, tidak kira siapa yang melaksanakannya,” katanya.
Md Israk berharap cadangan penambahbaikan itu dapat disampaikan kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan supaya kaedah penyaluran BAP lebih mudah diakses oleh semua keluarga.