LATEST
Social Media

“Tak ada isu sorok-sorok” – KPM jawab isu pelajar MCKK meninggal dunia di sekolah

“Tak ada isu sorok-sorok” – KPM jawab isu pelajar MCKK meninggal dunia di sekolah

Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan wujud sebarang usaha menyembunyikan maklumat berkaitan insiden kematian seorang pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang terjatuh dari bangunan sekolah berkenaan.

Menurut laporan Malaysia Gazette, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menegaskan pihaknya terbuka terhadap sebarang siasatan, selain memberi jaminan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberikan kerjasama sewajarnya dalam merungkai kejadian tersebut.

Baca juga: Warga Bangladesh catat angka tertinggi langgar syarat pas imigresen

“Tak ada isu sorok-sorok, sikap dan juga tindakan PDRM adalah kita terbuka kepada semua siasatan dan kita bagi kerjasama sebanyak mungkin,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sebarang pendedahan maklumat kepada orang ramai perlu mengambil kira peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Kita tiada isu. Kita tiada isu untuk terbuka kepada mana-mana siasatan. Ambil maklum cadangan daripada (Ahli Parlimen) Putrajaya,” ujarnya.

Kenyataan itu dibuat susulan celahan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin yang mahu kementerian menjelaskan punca sebenar insiden berkenaan bagi memastikan langkah intervensi yang tepat dapat dilaksanakan.

Foto arkib: Bernama

Menurut Radzi, kegagalan mengenal pasti punca kejadian hanya akan menyukarkan usaha menangani masalah tersebut, sekali gus meningkatkan risiko insiden sama berulang pada masa hadapan.

“Kerana kalau kita cuba sorok perkara ini, kita tak tahu masalah sebenar, kita tak boleh selesai sampai bila-bila,” katanya.

Beliau turut menggesa KPM menjalinkan kerjasama dengan pihak polis dalam mengenal pasti punca kejadian agar langkah pencegahan yang bersesuaian dapat dirangka.

Terdahulu, seorang pelajar sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar ditemukan meninggal dunia di kawasan sekolah berkenaan pada minggu lalu.

Sumber: Malaysia Gazette (Muhammad Azizul Osman)

More in Social Media

View all

Latest news