sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Kimmich kecam tindakan Bayern tekan Musiala potong gaji
Kuching: Kuching City FC mempamerkan aksi bertenaga untuk membenam Phnom Penh Crown FC 3-0 dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, hari ini.
The Cats membuka tirai jaringan pada minit ke-32 menerusi rembatan Safawi Rasid yang memperdayakan penjaga gol lawan dari jarak kira-kira 15 meter.
Sebelum itu, Kuching City hampir mendahului seawal minit ke-10 menerusi Adjin Mujagic, namun jaringan berkenaan dibatalkan kerana ofsaid.
Tersentak dengan jaringan itu, wakil Kemboja itu cuba bangkit mengatur serangan bagi mencari gol penyamaan.
Pada minit ke-38, Moses Dyer hampir menyamakan kedudukan selepas melepasi perangkap ofsaid, namun penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli bertindak cemerlang menafikan percubaan itu.
Memasuki babak kedua, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak terus menguasai rentak permainan sebelum pemain gantian, Jerome Etame menggandakan kelebihan pada minit ke-74, kurang seminit selepas dimasukkan.
Etame menyempurnakan lorongan Mujagic untuk meletakkan The Cats selesa mendahului 2-0.
Phnom Penh Crown cuba merapatkan jurang jaringan, namun benteng pertahanan Kuching City kekal ampuh mematahkan setiap ancaman.
Dylan Wenzel-Halls kemudian melengkapkan malam gemilang tuan rumah apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-90 untuk mengesahkan kemenangan 3-0.
Kemenangan itu menyaksikan Kuching City mengumpul tujuh mata untuk menduduki tangga kedua Kumpulan H, sekali gus mengukuhkan peluang mereka dalam kempen ACL2 musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd