KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis berikutan pelabur kekal optimistik terhadap prospek Malaysia menjelang 2027.
Baca juga: Johor luluskan tabung amanah pembangunan sukan biayai pembangunan atlet, jurulatih, pegawai sukan
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1135/1175 berbanding dolar AS daripada 4.1170/1220 ketika ditutup semalam.
Prospek positif itu turut disokong oleh ulang tahun keempat pentadbiran Kerajaan MADANI pada 24 November lalu, yang memperkukuh keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia.
Ekonomi Malaysia juga berada pada landasan pertumbuhan menerusi kerangka Ekonomi MADANI, dengan penstrukturan semula ekonomi dijangka memberikan manfaat jangka panjang yang lebih meluas, khususnya dari segi produktiviti, nilai tambah domestik dan kesejahteraan rakyat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pengukuhan ringgit didorong terutamanya oleh faktor teknikal berikutan mata wang tempatan itu dianggap berada di bawah nilai wajarnya.
“Pedagang mungkin melihat potensi nilai pada ringgit selepas mata wang tempatan itu mengalami sedikit pembetulan teknikal,” katanya kepada Bernama.
Ketika ditutup, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit susut berbanding euro kepada 4.5133/5177 daripada 4.5036/5091 ketika ditutup pada Rabu, turun berbanding pound kepada 5.3924/3976 daripada 5.3756/3821 dan melemah berbanding yen kepada 2.5834/5860 daripada 2.5820/5853.
Berbanding mata wang ASEAN, ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1878/1911 daripada 3.1858/1899, namun mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 224.0/224.3 daripada 224.6/224.9.
Mata wang tempatan turut susut berbanding baht Thailand kepada 12.0712/0875 daripada 12.0599/0798, namun mengukuh sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.45/6.46 daripada 6.46/6.48. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd