LATEST

Speedy Tigress mahu gugat juara bertahan

Speedy Tigress mahu gugat juara bertahan

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: Navigating Modern Online Gaming Platforms

Kuala Lumpur: Selepas berjaya ke separuh akhir, skuad hoki wanita negara kini berdepan ujian paling getir apabila perlu mencabar juara bertahan, India, demi memburu tiket ke final Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026, esok.

Kemaraan itu bukan noktah buat Speedy Tigress, sebaliknya peluang membuktikan mereka mampu menggugat kuasa besar Asia selepas melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas Thailand dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Bhopal.

Di bawah bimbingan CR Kumar, kejayaan itu turut menandakan pencapaian membanggakan apabila skuad negara buat pertama kali menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik Asia sepanjang kendaliannya.

Empat gol padang dalam tempoh lima minit terakhir memastikan kemenangan ke atas Thailand, dengan Nuramirah Syakirah Zulkifli meledak dua jaringan pada minit ke-55 dan ke-60, manakala Nur Afiqah Syahzani Azhar turut menyumbang dua gol pada minit ke-56 dan ke-60.

Kumar berkata, beliau gembira dengan persembahan pemain terutama pada 10 minit terakhir, namun mengingatkan mereka supaya mengekalkan pendekatan agresif itu sejak awal perlawanan.

“Menerusi kemenangan ini, kami berjaya melangkah ke separuh akhir. Saya amat gembira dengan persembahan pemain dalam tempoh 10 minit terakhir.

“Jika bermain dengan corak agresif yang sama sejak awal perlawanan, mereka mampu melakukan sesuatu yang lebih baik. Saya harap mereka dapat memulakan permainan dengan pendekatan sama dalam aksi seterusnya,” katanya.

Bagaimanapun, Kumar tidak mahu anak buahnya terlalu selesa dengan pencapaian itu kerana menganggap kemaraan ke separuh akhir hanyalah sebahagian daripada proses pembangunan pasukan yang masih perlu banyak belajar dan memperbaiki kelemahan.

Katanya, pengalaman berdepan pasukan terbaik Asia sepanjang kejohanan menjadi bekalan penting buat pemain untuk meningkatkan mutu permainan, terutama menjelang pertemuan dengan India yang pastinya menawarkan cabaran berbeza.

“Siapa sahaja lawan yang bakal dihadapi, kami tetap perlu turun beraksi. Kedudukan atau ranking bukan perkara utama, sebaliknya kami perlu memberikan yang terbaik.

“Saya berharap suatu hari nanti pemain-pemain ini mampu beraksi jauh lebih baik berbanding tahap mereka sekarang,” katanya.

Malaysia sebelum ini pernah menduduki tempat ketiga pada edisi ACT 2013 di Kakamigahara, Jepun, yang kekal sebagai pencapaian terbaik negara dalam kejohanan berkenaan.

Justeru, pertemuan dengan India bukan sekadar peluang menguji kemampuan skuad negara, malah ruang untuk membuktikan kemajuan yang dicapai dan mencabar kedudukan pasukan terbaik Asia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news