LATEST

Russia dikecam guna gas pemedih mata di medan perang

Russia dikecam guna gas pemedih mata di medan perang

THE HAGUE: Pegawai dari 34 negara dan Kesatuan Eropah (EU) menggesa Moscow menghentikan penggunaan gas pemedih mata di medan perang selepas badan pemantau senjata kimia antarabangsa mengesahkan Ukraine menemui kesan bahan itu di sebuah parit yang didakwa diserang menggunakan bom tangan Russia.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan susulan laporan Ukraine yang diedarkan kepada 193 negara ketika Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) mengadakan perhimpunan di The Hague minggu ini.

Baca juga: Farhan gesa pemain muda guna peluang di Grand Final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026

Ukraine mendakwa mendokumentasikan lebih 14,000 kes penggunaan peluru yang mengandungi bahan pengawal rusuhan dan bahan kimia toksik oleh Russia di barisan hadapan sejak 2022.

OPCW berkata, makmal yang ditetapkan dan diluluskan badan itu mengesahkan kehadiran bahan pengawal rusuhan jenis CS dalam sampel yang dikumpulkan di lokasi kejadian.

Bahan pengawal rusuhan seperti CS, sejenis gas pemedih mata, dilarang digunakan dalam peperangan.

“Kami menggesa penggunaan serta-merta sebarang bahan kimia toksik dan bahan pengawal rusuhan sebagai kaedah peperangan di Ukraine dihentikan,” menurut kenyataan bersama pengarah hal ehwal bukan proliferasi dari Britain, Perancis, Jerman, Jepun, New Zealand, EU dan beberapa negara lain.

Laporan media pada pertengahan tahun menyebut risikan Barat mendapati tentera Russia menggunakan bahan pengawal rusuhan untuk memaksa tentera Ukraine keluar dari parit ke kawasan terbuka sebelum menyerang mereka.

Russia menafikan menggunakan peluru haram dan turut menuduh Ukraine melakukan perkara sama.

Semalam, tentera Ukraine dilaporkan menyerang sebuah pangkalan udara utama di Russia dan merosakkan lima pesawat yang digunakan untuk melancarkan serangan peluru berpandu serta bom ke atas Kyiv..

Russia belum memberikan ulasan segera berhubung dakwaan serangan itu, yang menyasarkan pangkalan udara Savasleyka di wilayah Nizhny Novgorod dalam serangan jarak jauh terbaharu Kyiv.

Sementara itu, Canselor Jerman, Friedrich Merz menuduh Russia meningkatkan ancaman terhadap keselamatan Eropah ketika mempertahankan rancangan kerajaan untuk memperkukuh perbelanjaan pertahanan dan meneruskan bantuan kewangan kepada Ukraine.

Poland pula akan mewujudkan zon larangan terbang berhampiran sempadan Ukraine susulan beberapa pencerobohan ruang udara yang didakwa dilakukan Russia.-AGENSI

The post Russia dikecam guna gas pemedih mata di medan perang appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news