ferzalfie@hmetro.com.my
Baca juga: Anwar pemimpin kelapan paling berpengaruh di Asia
Kuala Lumpur: Masalah kekurangan pemain yang menghantui Alfa Cafe MIBJ D dan Alfa Cafe Z sepanjang saingan zon, akhirnya menemui penyelesaian apabila kedua-dua pasukan mendapat kebenaran pihak teknikal untuk menambah dua pemain menjelang Grand Final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026.
Pengurus kedua-dua pasukan, Muhammad Fareez Othman berkata, kelulusan itu memberikan kelegaan buat kem Alfa Cafe yang sebelum ini terpaksa mengharungi saingan Zon Utara dan Zon Timur dengan hanya tiga pemain.
Menurutnya, penambahan pemain itu penting bagi memastikan kedua-dua pasukan mempunyai pilihan lebih luas terutama selepas pengalaman menyaksikan apit kanan Alfa Cafe Z mengalami kecederaan paha ketika beraksi di Terengganu.
“Alhamdulillah, lega sedikit apabila pihak teknikal membenarkan kami menambah pemain untuk Grand Final ini.
“Ketika saingan zon sebelum ini, kedua-dua pasukan hanya menggunakan tiga pemain dan kami agak bimbang apabila apit kanan (Hazim Abdul Hadi) mengalami kecederaan paha ketika beraksi di Terengganu.
“Jadi, penambahan pemain ini penting sebagai langkah berjaga-jaga dan memastikan pasukan mempunyai pilihan sekiranya berlaku perkara tidak diingini,” katanya.
Fareez berkata, kedua-dua pasukan merancang mendaftarkan dua pemain tambahan, namun senarai akhir hanya akan dimuktamadkan ketika proses pendaftaran pemain pada pagi Sabtu ini.
Beliau menjelaskan, pemain yang pernah beraksi di peringkat zon boleh didaftarkan sekiranya pasukan asal mereka gagal melayakkan diri ke Grand Final, sekali gus memberikan ruang kepada pasukan memperkukuhkan barisan masing-masing.
Dalam perkembangan sama, Fareez mengakui undian Grand Final yang berlangsung semalam turut menghadirkan cabaran tersendiri buat kedua-dua pasukannya.
Alfa Cafe Z ditempatkan dalam Kumpulan B bersama SSMT EC Smurf B, SSMT H dan Highlander A, manakala Alfa Cafe MIBJ D yang hadir dengan status juara Zon Utara diundi dalam Kumpulan D bersama MSP B, MBPG dan Warisan B.
Menurut Fareez, Kumpulan B dilihat cukup mencabar memandangkan tiga pasukan lain turut mempunyai kekuatan tersendiri, terutama wakil dari Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT).
“SSMT memang mempunyai pemain yang bagus dari segi permainan, tetapi dalam sepak takraw, menang kalah itu adat pertandingan.
“Kita pernah berdepan situasi sama ketika menentang Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di Terengganu. Pada awalnya kita nampak mereka mempunyai permainan yang baik, tetapi akhirnya rezeki berpihak kepada Alfa Cafe untuk melangkah ke suku akhir.
“Jadi, apa sahaja boleh berlaku di dalam gelanggang,” katanya.
Sementara itu, bagi Alfa Cafe MIBJ D, Fareez percaya pasukannya mampu memberikan tentangan kepada tiga pencabar dalam Kumpulan D, namun mengingatkan pemain supaya tidak terlalu selesa dengan status juara Zon Utara yang diraih sebelum ini.
“Insya-Allah, saya rasa kami mampu memberikan tentangan yang baik kepada pasukan lain. Cuma kami tidak boleh terlalu yakin atau memandang rendah keupayaan lawan.
“Semua pasukan yang beraksi di Grand Final ini adalah antara yang terbaik dan sudah tentu masing-masing mahu membuktikan kemampuan,” katanya.
Grand Final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 dijadual berlangsung di Akademi Sepaktakraw Malaysia, Kuala Lumpur pada Sabtu dan Ahad ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd