LATEST

Farhan gesa pemain muda guna peluang di Grand Final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026

Farhan gesa pemain muda guna peluang di Grand Final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026

ferzalfie@hmetro.com.my

Baca juga: Tony Pua, Poay Tiong disiasat

Kuala Lumpur: Grand Final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 bukan sekadar medan memburu kejuaraan, sebaliknya peluang terbaik untuk mencungkil bakat baharu yang mampu menjadi sandaran skuad sepak takraw negara pada masa depan.

Apit kiri yang juga kapten skuad kebangsaan, Farhan Adam berkata, saingan membabitkan pemain bawah 16 tahun (B-16) itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap peserta untuk membuktikan kemampuan masing-masing, sekali gus memperlihatkan potensi kelompok pemain muda yang dimiliki negara.

Malah, dia mahu melihat pemain muda bukan sekadar turun beraksi bagi memenuhi penyertaan pasukan, sebaliknya mempunyai kesungguhan untuk meningkatkan tahap permainan dan memburu pencapaian tertinggi.

“Saya mahu lihat semua pemain B-16 dapat menunjukkan permainan yang baik dan memberikan aksi terbaik untuk setiap pasukan mereka.

“Daripada situ, kita dapat lihat kelompok pemain yang ada di negara kita semakin ramai dan besar dan mereka inilah yang akan menggantikan pemain senior pada masa akan datang.

“Jadi, mereka perlu serius dan jangan sekadar bermain sahaja, sebaliknya berusaha mencapai kedudukan paling tinggi,” katanya.

Mengulas perkembangan pemain yang beraksi dalam saingan zon sebelum ini, Farhan mengakui terdapat beberapa pemain muda sudah memperlihatkan karakter dan kemahiran menarik meskipun masih berusia 16 tahun.

Bagaimanapun, dia menegaskan aspek permainan perlu diberikan keutamaan kerana karakter yang baik sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disokong kemampuan teknikal di gelanggang.

“Karakter ini sesuatu yang sukar dibentuk kerana ia datang daripada diri sendiri. Kalau mereka sudah ada karakter yang bagus, mereka perlu kekalkan.

“Tetapi perkara paling utama yang kita mahu bangunkan adalah permainan. Kalau ada karakter tetapi permainan masih biasa-biasa, ia tidak seiring.

“Jadi, mereka perlu meningkatkan tahap permainan supaya apabila tamat saingan B-16, mereka sudah hampir bersedia untuk melangkah ke peringkat pelapis,” katanya.

Farhan turut menyambut baik penganjuran Klinik Sepak Takraw yang akan berlangsung pada pagi Sabtu ini, yang dilihat mampu menjadi platform memperkenalkan sukan berkenaan kepada lebih ramai kanak-kanak dan pelajar.

Menurutnya, penyertaan peserta daripada kategori bawah 12 tahun (B-12) dan B-16 bukan sahaja dapat menarik minat generasi muda, malah membantu memperluaskan kelompok pemain yang boleh dibangunkan untuk masa depan.

“Melalui klinik ini, kita mahu menarik minat adik-adik untuk bermain sepak takraw dan paling penting, ia perlu ada kesinambungan selepas klinik berakhir.

“Kalau mereka nampak mereka boleh bermain dan ada kemampuan, insya-Allah mereka akan teruskan minat itu.

“Saya berharap klinik seperti ini bukan diadakan sekali sahaja. Kalau boleh, ia perlu mempunyai beberapa fasa dan dilaksanakan secara berterusan, mungkin sebulan sekali.

“Jadi, pemain muda ini tahu mereka mempunyai tempat untuk pergi dan peluang untuk terus mengembangkan bakat dalam sepak takraw,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news