ALOR SETAR: PMCK Bhd (PMCK) bekerjasama dengan Chin Hin Group Bhd (Chin Hin) untuk membangunkan dua hospital swasta di Kedah dan Melaka.
Baca juga: Ringgit ditutup tinggi berikutan prospek positif ekonomi Malaysia
Pengarah Eksekutif PMCK, Lee Yong Qian, berkata kerjasama pertama melibatkan pembinaan hospital PMC Alor Setar II yang melibatkan kos pembangunan berjumlah RM376 juta, di atas tanah seluas kira-kira 1.05 hektar (2.6 ekar) milik Unique Luxury Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh PMCK.
Hospital yang terletak di tengah bandar Alor Setar itu dirancang mempunyai 271 katil, dengan kapasiti untuk ditingkatkan kepada lebih 300 katil jika diperlukan.
“PMC Alor Setar II akan menjadi hospital ketiga daripada empat hospital kumpulan. Ia bertujuan meningkatkan kemudahan penjagaan kesihatan swasta untuk penduduk sekitar Alor Setar dan Wilayah Utara.
“Hospital itu disasarkan mula beroperasi pada 2031,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yong Qian berkata, dua hospital kumpulan yang lain ialah Putra Medical Centre di Alor Setar dan PMC Kulim, yang dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2028.
Sebuah lagi hospital di Melaka turut dirancang sebagai hospital keempat kumpulan itu.
Beliau berkata, menerusi model kerjasama berkenaan, PMCK dapat mengekalkan pemilikan tanah, lesen dan tanggungjawab menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan, tanpa perlu menanggung sebahagian besar modal pembangunan.
“Kami memiliki tanah tempat hospital ini dibina dan akan mengendalikan setiap wad, manakala rakan kongsi kami bertanggungjawab terhadap pembangunan dan pembiayaan. Ini membolehkan kami memberi tumpuan kepada penjagaan pesakit,” katanya.
Yong Qian berkata, PMCK bercadang menggunakan model kerjasama yang sama bagi pembangunan hospital di Melaka kerana perkhidmatan penjagaan kesihatan mampu milik masih belum dinikmati secara meluas oleh masyarakat setempat.
PMCK yang tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia merupakan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta yang berpangkalan di utara Malaysia.
Perkhidmatannya merangkumi rawatan pesakit dalam dan pesakit luar serta sokongan kesihatan.
-BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd