LATEST

Enam hari untuk pulih grid elektrik ke pantai timur Sabah

Enam hari untuk pulih grid elektrik ke pantai timur Sabah

am@hmetro.com.my

Baca juga: HRD Awards 2026 rai 25 edisi kecemerlangan pembangunan modal insan

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) menetapkan tempoh enam hari untuk memulihkan semula talian penghantaran tenaga 275 kV ke pantai timur Sabah selepas terjejas akibat insiden menara tumbang di Ranau, awal pagi tadi.

Pengerusinya, Datuk Saadiah Aziz, berkata menerusi sasaran itu, pihaknya menjangkakan pemulihan grid dapat dicapai sepenuhnya pada 2 Disember depan selepas dua talian penghantaran yang terjejas ketika ini dapat disambung semula.

Beliau berkata, tempoh enam hari diperlukan bagi membolehkan Sabah Electricity dan kontraktornya menghantar peralatan untuk memasang menara sementara dan menyambung semula talian terjejas di lokasi yang dikenal pasti selamat berhampiran menara tumbang.

Katanya, dalam tempoh itu, bekalan elektrik di kawasan pantai timur akan dijana menggunakan jana kuasa sedia ada di Sandakan dan Tawau, dengan disokong jana kuasa bergerak yang dihantar ke semua kawasan yang terjejas.

“Kita menyasarkan tempoh enam hari untuk menyambung semula grid yang terjejas ke pantai timur Sabah dan mungkin boleh disiapkan lebih awal lagi.

“Namun, apa yang penting kita juga mesti mengutamakan keselamatan mereka yang melaksanakan kerja di lapangan.

“Kita mengharapkan semua berjalan lancar supaya bekalan elektrik kepada pengguna di pantai timur kembali seperti sedia kala,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Sabah Electricity, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar.

Saadiah berkata, Sabah Electricity mengaktifkan sistem pengurusan krisis sejurus mengenal pasti punca gangguan bekalan di pantai timur Sabah dan menyusun langkah segera bagi memulihkan sementara bekalan di tujuh daerah terjejas.

Katanya, insiden menara tumbang itu menyebabkan bekalan elektrik terputus di Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau, membabitkan 153,599 pengguna berdaftar.

“Kita dapat mengawal situasi dengan baik, bermula dengan memulihkan lalu lintas utama Ranau-Telupid yang terjejas akibat kabel elektrik yang menghalang laluan di lokasi berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Matupang, Ranau, pagi tadi.

“Ia kemudian disusuli tindakan pemulihan segera bekalan elektrik secara berperingkat di daerah yang terjejas menggunakan jana kuasa sedia ada dan jana kuasa mudah alih,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini Sabah Electricity berjaya menggabungkan talian grid pantai timur yang menghubungkan semua daerah di kawasan itu bagi meningkatkan keupayaan bekalan dan meminimumkan kesan catuan kepada antara satu hingga dua jam.

Sementara itu, Mohd Yaakob berkata, hakisan tebing sungai akibat arus deras Sungai Liwagu di Ranau berikutan hujan berterusan di kawasan itu dikenal pasti punca utama menyebabkan menara bertanda T313 itu tumbang.

Katanya, hakisan tebing sungai itu sudah dikesan sejak Januari lalu sebelum kerja pengukuhan tebing dilaksanakan pada Mac menggunakan guni pasir dan susunan batu besar.

“Bagaimanapun, arus deras Sungai Liwagu akibat hujan berterusan di Ranau sejak beberapa hari lalu menyebabkan tebing baharu yang sudah dibuat itu hanyut dan akhirnya menara juga tumbang,” katanya.

Katanya, insiden menyebabkan kawasan pantai timur Sabah kehilangan 295 MW tenaga yang disalurkan dari pantai barat Sabah.

Beliau berkata, pemulihan grid dimulakan dengan talian satu yang dijangka disambung semula pada 1 Disember, disusuli talian dua pada 2 Disember sebelum sistem grid Sabah disambung semula sepenuhnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news