LATEST

HRD Awards 2026 rai 25 edisi kecemerlangan pembangunan modal insan

HRD Awards 2026 rai 25 edisi kecemerlangan pembangunan modal insan

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) meraikan edisi ke-25 Anugerah Pembangunan Sumber Manusia (HRD Awards) 2026 dalam satu majlis makan malam gala di Pusat Konvensyen dan Acara Connexion (CCEC), Bangsar South, di sini, semalam.

Majlis berprestij itu dirasmikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan bagi mengiktiraf majikan, penyedia latihan serta jurulatih yang memacu pembangunan tenaga kerja masa depan negara.

Baca juga: Jadi lebih baik jika mahu cabar Australia – Carolan

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, Sutekno Ahmad Belon; Pengerusi HRD Corp, Datuk Rusli Jaafar; Ketua Pegawai Operasi HRD Corp, Amir Hamzah Rahmat; Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Nik Mustapha Nik Mohamed serta Penasihat Kanan MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.

Ramanan dalam ucapannya menekankan kepentingan pelaburan berterusan dalam pembangunan tenaga kerja bagi memastikan rakyat Malaysia kekal dilengkapi kemahiran diperlukan untuk memenuhi tuntutan industri yang sentiasa berubah.

“Membangunkan tenaga kerja berkemahiran dan berdaya saing memerlukan komitmen bersama daripada majikan, penyedia latihan serta jurulatih.

“Pencapaian yang diiktiraf malam ini membuktikan peranan penting setiap daripada mereka dalam memperkukuh modal insan Malaysia serta mempersiapkan tenaga kerja kita untuk masa depan,” katanya.

Sebanyak 53 anugerah disampaikan menerusi empat kategori utama iaitu Anugerah Menteri Sumber Manusia (Platinum), Anugerah HRD Corp (Emas), Anugerah HRD Corp (Perak) dan Anugerah HRD Corp (Gangsa).

Anugerah Menteri Sumber Manusia kekal sebagai pengiktirafan tertinggi bagi menghargai pencapaian luar biasa dalam pembangunan tenaga kerja dan kecemerlangan latihan.

Diiktiraf sebagai anugerah utama atau ‘Best of the Best’, kategori Platinum itu hanya diberikan kepada empat penerima terbaik merangkumi satu pemenang bagi setiap kumpulan iaitu Majikan Besar, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Penyedia Latihan serta Jurulatih.

Selain 53 trofi utama, sebanyak 88 Sijil Kecemerlangan turut disampaikan kepada para finalis daripada keseluruhan 811 penyertaan yang diterima tahun ini membabitkan 657 majikan serta 154 penyedia latihan dan jurulatih.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz turut menghargai sumbangan kolektif majikan, penyedia latihan dan jurulatih dalam membentuk tenaga kerja negara.

“Malam ini adalah mengenai majikan yang percaya bahawa pelaburan terhadap warga kerja adalah sama pentingnya dengan pelaburan dalam perniagaan mereka.

“Ia juga mengenai penyedia latihan yang memahami tanggungjawab mereka melangkaui sekadar menyampaikan program latihan serta jurulatih yang berkongsi ilmu, menyuntik keyakinan dan membantu rakyat biasa mencapai kejayaan luar biasa.

“Pada akhirnya, segala usaha ini adalah demi tenaga kerja Malaysia yang menjadi sebab utama kita semua berada di sini,” katanya dalam ucapan pada majlis berkenaan.

Sejak diperkenalkan pada 2001, HRD Awards berperanan sebagai platform mengiktiraf organisasi serta individu yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembangunan bakat, memperkukuh pembelajaran di tempat kerja dan membudayakan peningkatan kemahiran berterusan.

Sempena sambutan ke-25 ini, penilaian memberi tumpuan lebih mendalam terhadap pencapaian bermakna, pelaburan strategik dalam pembelajaran serta hasil latihan yang boleh diukur seiring keperluan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi masa depan.

Semua pemenang dipilih melalui proses penilaian berperingkat yang ketat bagi menjamin ketelusan, integriti dan kredibiliti.

Panel penilai terdiri daripada pakar luar merangkumi wakil persatuan majikan dan agensi kerajaan bersama panel Jawatankuasa Eksekutif HRD Corp.

Penganjuran HRD Awards 2026 turut memperkukuh kerjasama strategik antara majikan, penyedia latihan, jurulatih dan pemegang taruh industri dalam meningkatkan standard latihan serta menyokong agenda pembangunan modal insan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news