BENGALURU: Elon Musk merancang menghadiahkan dua saham SpaceX kepada setiap kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) dalam usaha mendapatkan sokongan orang ramai terhadap perniagaan satelit dan kecerdasan buatan (AI) miliknya ketika sektor teknologi berdepan penelitian ketat daripada masyarakat dan ahli politik.
Baca juga: KBS akan lancar garis panduan e-sukan
Individu terkaya dunia itu mengumumkan pemberian saham berkenaan yang keseluruhannya bernilai kira-kira AS$18 bilion, menjelang sambutan Hari Kesyukuran dan hanya beberapa jam selepas SpaceX memperoleh kelulusan AS pada Rabu untuk melancarkan sejuta satelit bagi menyokong pusat data di angkasa lepas.
Musk sedang berusaha memperluaskan peranan SpaceX dalam industri AI, meskipun pertumbuhan pesat infrastruktur pengkomputeran mencetuskan kebimbangan mengenai kesan terhadap alam sekitar serta pengaruh ekonomi dan politik golongan bilionair teknologi.
Pihak yang menentang pembangunan pusat data turut menjadi antara penyumbang utama kepada kemenangan Parti Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal AS bulan ini.
“Inisiatif ini jelas membantu memperluaskan penyertaan orang ramai dalam perkembangan SpaceX,” kata Ketua Penasihat Kekayaan OCBC di Singapura, Chez Anbu.
“Memberikan kepentingan ekonomi secara langsung kepada kanak-kanak dalam syarikat itu mewujudkan naratif yang kukuh mengenai penyertaan lebih meluas dalam manfaat ekonomi AI dan angkasa lepas,” katanya.
Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) berkata, pihaknya meluluskan cadangan konstelasi satelit SpaceX bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pengkomputeran AI.
Ahli astronomi sejak sekian lama menyuarakan kebimbangan mengenai pembangunan sedemikian di angkasa lepas, manakala Persatuan Astronomi Amerika menyifatkan keputusan FCC itu sebagai sesuatu yang ‘mengecewakan dan mendukacitakan’.
Persatuan itu memberi amaran bahawa konstelasi satelit yang dicadangkan berkenaan akan ‘menjejaskan dengan ketara pelaburan persekutuan selama beberapa dekad dalam kemudahan astronomi’, selain mengganggu keupayaan ahli astronomi dan orang ramai untuk menikmati serta mengkaji langit malam.
Musk berkata, setiap kanak-kanak akan menerima satu saham daripada SpaceX dan satu lagi saham daripadanya secara peribadi menerusi hantaran ringkas di platform X.
Dalam hantaran berasingan, Musk berkata saham SpaceX itu akan dipindahkan bulan depan.
“Saham yang diberikan secara langsung daripada saya akan dipindahkan apabila tempoh sekatan penjualan saham (lock-up) saya tamat pada Jun tahun depan,” katanya.
SpaceX sebelum ini mengumumkan bahawa syarikat itu akan menyumbangkan satu saham baharu saham biasa Kelas A kepada setiap akaun Trump yang masih aktif, manakala Musk secara peribadi akan menyamai jumlah saham yang disumbangkan syarikat itu.
Akaun Trump ialah program yang dirangka untuk memberikan rakyat AS berusia bawah 18 tahun kepentingan dalam pasaran saham serta membantu mereka membina kekayaan sejak usia muda.
Rumah Putih pada Oktober berkata bahawa hampir 70 juta akaun sudah dibuka.
Saham SpaceX ditutup pada harga AS$127.44 pada Rabu, menjadikan nilai keseluruhan pemberian saham itu hampir AS$18 bilion.
SpaceX tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas sama ada sumbangan saham syarikat oleh Musk akan dikaitkan dengan Akaun Trump.
“Apa yang dilakukan menerusi langkah ini ialah membina asas pemegang saham runcit jangka panjang yang besar,” kata Penasihat Pasaran Global di firma broker Mitrade Group, Christopher Brankin.
“Ia mewujudkan penglibatan pasaran serta-merta dan menyediakan kumpulan pelanggan yang celik kewangan dalam jumlah besar untuk platform dagangan apabila generasi itu mencapai usia dewasa,” katanya.
Musk, yang memiliki kekayaan bersih kira-kira AS$824 bilion, bulan lalu berkata bahawa beliau akan memberikan satu saham SpaceX kepada setiap kanak-kanak di Amerika.
Beliau memiliki kira-kira 6.42 bilion saham dalam syarikat itu setakat Jun lalu.
“Tahun depan, saya akan memberikan satu saham SpaceX kepada setiap kanak-kanak di Amerika. Ini yang pertama daripada banyak lagi inisiatif seumpamanya,” kata Musk menerusi hantaran di X ketika itu.
“Memberikan saham, iaitu kepentingan dalam ekonomi masa depan, secara langsung kepada rakyat adalah langkah yang tepat,” kata Musk, yang kebanyakan usaha kebajikannya disalurkan menerusi Yayasan Musk, yang dilaporkan memiliki aset melebihi AS$14 bilion.
Presiden SpaceX, Gwynne Shotwell dan suaminya pada Oktober lalu turut berjanji menyumbangkan satu saham SpaceX kepada setiap seorang daripada lebih dua juta kanak-kanak di bawah inisiatif Trump.
Musk dan pesaingnya dalam industri AI, Anthropic, mempunyai pendekatan yang jauh berbeza dalam berkongsi sebahagian daripada keuntungan hasil ledakan industri AI.
Anthropic, yang disenaraikan di pasaran saham awal bulan ini, pada Oktober berkata bahawa pihaknya memperuntukkan lima peratus sahamnya kepada dana baharu untuk ‘kepentingan awam’.
Anthropic berkata, inisiatif yang bernilai kira-kira AS$54 bilion berdasarkan harga semasa itu akan memberikannya lebih banyak fleksibiliti dan skala untuk menyalurkan sumbangan demi manfaat kemanusiaan.
“Langkah ini berkemungkinan bertujuan mempromosikan Akaun Trump… dan juga sebagai tindak balas terhadap publisiti usaha kebajikan Anthropic yang dijangka semakin mendapat perhatian,” kata Ketua Pegawai Pelaburan Toscafund HK di Hong Kong, Mark Tinker.
“Bagaimanapun, ini sambutan Hari Kesyukuran!” katanya.
-Reuters
© New Straits Times Press (M) Bhd