LATEST

Guru disiplin bebas tuduhan amang seksual tapi dipenjara kerana amang seksual bukan fizikal

Guru disiplin bebas tuduhan amang seksual tapi dipenjara kerana amang seksual bukan fizikal

am@hmetro.com.my

Baca juga: Tikus makan tauge di Pasar Pudu, KKM gerak operasi penguatkuasaan bersepadu

Tawau: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini membebaskan guru disiplin sebuah sekolah menengah daripada tuduhan amang seksual fizikal pelajar berusia 17 tahun, empat tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 37 tahun bagaimanapun didapati bersalah atas tuduhan amang seksual bukan fizikal ke atas pelajar berlainan yang turut berumur 17 tahun ketika kejadian.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap tertuduh bagi kesalahan itu dan tambahan penjara setahun serta dua sebatan mengikut Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Ia mengambil kira bahawa tertuduh seorang guru yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa.

Bagi pertuduhan pertama, guru itu didakwa melakukan amang seksual fizikal di sebuah bilik pusat sumber sebuah sekolah menengah, di sini kira-kira jam 12 tengah hari, 15 Februari 2022, dengan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta 792 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Ahmad Faizadh dalam penghakimannya berkata, terdapat keraguan munasabah sama ada tertuduh mempunyai akses ke bilik pusat sumber yang didakwa menjadi lokasi kejadian pada Februari 2022.

Beliau berkata, keterangan tertuduh menafikan mempunyai akses ke bilik berkenaan, disokong dokumen tugas pemarkahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan pertama dan melepas dan membebaskannya di akhir kes.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan mengeluarkan kata-kata berunsur lucah serta memegang dan menarik tangan seorang lagi pelajar bagi maksud seksual di lokasi sama, pada 9.20 pagi, 19 April 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 15(a) Akta 792 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Ahmad Faizadh berkata, tidak dipertikaikan tertuduh mempunyai hubungan amanah dengan mangsa, selain satu-satunya guru bukan perpustakaan yang diberi kebenaran menggunakan serta memegang kunci pusat sumber ketika kejadian.

Katanya, mahkamah mendapati keterangan mangsa mengenai kata-kata berunsur lucah dan perbuatan menarik tangannya kekal konsisten serta tidak tergugat ketika disoal balas pihak pembelaan.

Hakim itu berkata lagi tertuduh sendiri mengakui berlaku sentuhan fizikal pada tangan mangsa ketika penyerahan telefon bimbit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news