Kuala Lumpur: Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) merekodkan hasil takaful RM3.14 bilion, meningkat 14 peratus berbanding RM2.75 bilion pada tempoh sama tahun lalu bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9B TK2026).
Baca juga: Guru disiplin bebas tuduhan amang seksual tapi dipenjara kerana amang seksual bukan fizikal
Keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) kumpulan turut naik enam peratus kepada RM497.8 juta manakala keuntungan bersih meningkat lapan peratus tahun ke tahun sekali gus mencerminkan daya tahan operasi dalam persekitaran pasaran yang mencabar.
Lebih membanggakan, syarikat pengendali takaful itu turut mencatat keuntungan suku tahunan tertinggi dalam tempoh lima tahun apabila keuntungan bersih suku ketiga mencecah RM129 juta, iaitu lonjakan 12 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Hasil takaful bagi suku ketiga pula melonjak 28 peratus kepada RM1.16 bilion daripada RM902.8 juta, dipacu oleh peningkatan pelepasan keuntungan sumbangan jangka pendek dalam perniagaan takaful am dan manfaat pekerja serta caj perlindungan lebih tinggi.
Susulan prestasi memberangsangkan itu, Takaful Malaysia mengisytiharkan dividen interim sebanyak 20.5 sen sesaham yang merupakan rekod tertinggi dalam tempoh 10 tahun, sekali gus mengatasi rekod 20 sen sesaham pada 2019.
Pengisytiharan dividen yang 11 peratus lebih tinggi berbanding 18.5 sen tahun lalu itu menawarkan hasil dividen melebihi enam peratus kepada pemegang saham.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, pencapaian itu membuktikan kekuatan perniagaan teras dan pelaksanaan strategi berdisiplin syarikat dalam menjana nilai jangka panjang.
Menurutnya, perniagaan takaful keluarga mencatat peningkatan hasil 14 peratus kepada RM1.85 bilion, manakala segmen takaful am tumbuh 17 peratus kepada RM1.23 bilion didorong sumbangan kukuh segmen motor dan kebakaran.
“Keutamaan kami tetap jelas untuk memperkukuh daya saing dan menjana pertumbuhan mampan walaupun industri berdepan ketidaktentuan luaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, strategi peluasan saluran pengedaran terus membuahkan hasil positif apabila perniagaan runcit takaful keluarga berasaskan caruman berkala mencatat pertumbuhan melebihi 30 peratus.
Selain memperkukuh saluran langsung menerusi platform digital Kaotim dan rangkaian cawangan, kumpulan turut merancang memperkenalkan produk perlindungan perubatan mampu milik, MediAsas pada awal tahun 2027.
Tambahnya, Takaful Malaysia akan terus memanfaatkan kekuatan sedia ada dalam segmen bankatakaful, takaful am serta pengedaran langsung bagi memastikan pertumbuhan syarikat kekal menguntungkan pada masa hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd