LONDON: Pengurus Chelsea, Xabi Alonso menuntut anak buahnya memberikan tindak balas positif ketika berdepan Nottingham Forest selepas dibelasah Leeds United 1-4 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), minggu lalu.
Baca juga: Belanjawan 2027 lulus, langkah penting Kerajaan MADANI angkat taraf hidup rakyat – PM Anwar
Alonso menyifatkan kekalahan di Stamford Bridge itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dan mengakui skuad kendaliannya kini berada dalam situasi rapuh.
Chelsea memulakan musim dengan baik di bawah kendalian pengurus baharu itu, namun tewas tiga daripada empat perlawanan terakhir liga sehingga ketinggalan lima mata di belakang Liverpool yang menghuni tangga keempat dalam perebutan slot Liga Juara-Juara.
Menjelang pertemuan di City Ground, Sabtu ini, pengendali dari Sepanyol itu mahu melihat perubahan ketara daripada pemainnya.
“Kami mahu menunjukkan tindak balas dan membuktikan bahawa kami mampu melakukan jauh lebih baik.
“Itulah fokus utama dan sasaran kami untuk perlawanan esok kerana kami menjangkakan aksi sukar. Kami perlu bersaing dengan baik dan membuktikannya di atas padang,” katanya.
Masalah pertahanan turut menjadi kebimbangan Chelsea apabila mereka sudah dibolosi 20 gol dalam 11 perlawanan liga musim ini.
Hanya dua pasukan tercorot, Crystal Palace dan Manchester United, serta pasukan yang baru dinaikkan pangkat, Ipswich dan Coventry mempunyai rekod pertahanan lebih buruk berbanding The Blues.
Bagaimanapun, Alonso percaya skuadnya mempunyai kemampuan untuk menangani cabaran fizikal dalam saingan EPL, namun menegaskan aspek itu perlu segera diperbaiki.
“Ini bukan hanya untuk perlawanan esok, tetapi sepanjang baki musim. Kami perlu lebih kompetitif dalam aspek itu.
“Jika tidak, kami akan berdepan masalah. Perkara itu sudah jelas dan sekarang kami perlu melaksanakannya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Alonso mengesahkan pertahanan Wesley Fofana sudah memohon maaf selepas memberikan temu bual tanpa kebenaran kelab yang menyentuh kekalahan Chelsea kepada Liverpool menerusi penentuan sepakan penalti dalam saingan Piala Liga.
Fofana sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila dilihat bergurau mengenai kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti dalam temu bual berkenaan.
Pemain itu turut menerima kritikan susulan prestasi tidak konsisten sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
“Kami sudah membincangkan perkara itu dengannya dan ia sememangnya sesuatu yang dikesali.
“Dia sudah memohon maaf dan sedar bahawa itu bukan masa yang sesuai serta kandungan yang sepatutnya disampaikan.
“Kami berada di sini untuk mengambil segala perkara dengan serius dan dia memberi jaminan perkara itu tidak akan berulang,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah Moises Caicedo cergas untuk diturunkan menentang Forest, namun Maxence Lacroix dan Joao Pedro masih diketepikan akibat kecederaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd