LATEST

Menjelang Himpunan 26k Huffaz: Membina ekosistem, memacu peradaban

Menjelang Himpunan 26k Huffaz: Membina ekosistem, memacu peradaban

HARI ini Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk akan menghimpunnya para penghafaz al-Quran sempena Himpunan 26K Huffaz. Namun, di sebalik pertemuan ini terserlah agenda yang lebih besar: membina ekosistem pendidikan tahfiz yang mampu melahirkan generasi al-Quran sebagai penyumbang kepada kemajuan negara.

Bagi ibu bapa yang memilih pendidikan tahfiz, harapannya bukan sekadar melihat anak menghafaz al-Quran, tetapi juga mempunyai masa depan yang terbuka. Inilah antara perkara yang diperjuangkan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, melalui laluan pendidikan berkesinambungan daripada Pra Tahfiz TABIKA KEMAS dan MRSM Ulul Albab hingga ke universiti serta latihan kemahiran. Memilih aliran tahfiz tidak sepatutnya menutup pintu kepada cita-cita anak untuk menjadi profesional.

Baca juga: Takaful Malaysia catat untung bersih suku ketiga lebih besar RM127.88 juta

Aspirasi itu dekat dengan ungkapan beliau untuk melahirkan generasi yang mempunyai “minda New York dan London, hati Makkah dan Madinah.” Ertinya, generasi yang berani menguasai ilmu dan teknologi, namun tetap berpaut pada akhlak, nilai dan jati diri Islam.

KESEIMBANGAN DUNIA DAN AKHIRAT

Falsafah ini menepati pedoman Allah SWT dalam Surah al-Qasas, ayat 77, yang antara maksudnya:

“Dan tuntutlah dengan apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan kebahagiaan negeri akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu di dunia.”

Pendidikan tidak seharusnya memisahkan kejayaan dunia daripada tanggungjawab akhirat. Bagi seorang penghafaz al-Quran, hafazan bukan sekadar kemampuan mengingati ayat suci. Nilainya terserlah apabila disiplin, amanah dan hikmah yang dipelajari diterjemahkan dalam pekerjaan, keluarga dan kehidupan bermasyarakat.

Namun, cita-cita sebesar ini tidak cukup dengan ungkapan yang indah. Bagaimanakah ia diterjemahkan menjadi institusi berkualiti, kelayakan yang diiktiraf dan peluang pendidikan yang benar-benar tersedia kepada anak-anak tahfiz? Di sinilah pelaksanaan dan keberhasilan setiap inisiatif perlu menjadi ukuran utama.

HIMPUNAN HUFFAZ: DARIPADA INISIATIF KEPADA PELAKSANAAN

Himpunan Huffaz bermula dengan edisi 10K pada 2015, diikuti 20K pada 2016 dan 30K pada 2017. Penganjurannya kembali pada 2023 dengan penekanan yang lebih nyata kepada pembaharuan pendidikan. Himpunan 23K ketika itu menyaksikan pelancaran Pelan Tindakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 serta Garis Panduan Pengurusan Institusi Tahfiz, sebagai usaha memperkemas tadbir urus dan mutu pendidikan.

Pada 2024, penambahbaikan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) 2.0 dan pengenalan Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) membuka ruang pengiktirafan yang lebih luas. Pelajar yang belum menyempurnakan 30 juzuk juga boleh mendapat pengiktirafan mengikut tahap hafazan mereka. Ini penting kerana setiap usaha dan pencapaian wajar mempunyai nilai.

Setahun kemudian, Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) diperkenalkan untuk memberi perhatian kepada mutu pengajaran, pengurusan dan kebajikan pelajar. Dalam Himpunan 2025, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut mengumumkan insentif RM500,000 bagi 10 institusi tahfiz terbaik berdasarkan penilaian standard tersebut.

Pada Himpunan 26K Huffaz, 27 institusi yang melepasi penilaian kualiti JAKIM dijangka menerima pengiktirafan, manakala 10 institusi terpilih dijadual menerima RM50,000 setiap satu. Di sinilah kesinambungan himpunan mempunyai erti: pengumuman pada satu edisi disusuli tindakan pada edisi berikutnya, bukan sekadar tinggal sebagai janji di pentas majlis.

Tahun ini, masyarakat turut berpeluang mengikuti Klinik al-Quran Interaktif, tadabbur dan tahsin al-qiraat, serta Eksplorasi TVET-Tahfiz yang memperkenalkan laluan kemahiran. Penganjur juga merancang Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat RA, bagi mendekatkan pengunjung kepada sejarah dan warisan Islam. Bagan Datuk Bermunajat pula dijadual menghimpunkan masyarakat melalui zikir, selawat dan doa. Pengisian ini mempertemukan penghayatan agama dan khazanah sejarah dengan persediaan menghadapi masa hadapan.

MEMBINA EKOSISTEM TAHFIZ DARI AKAR UMBI

Pembinaan generasi huffaz boleh bermula seawal prasekolah. Program Pra Tahfiz TABIKA KEMAS yang diperkenalkan pada 2023 bermula dengan 100 kelas rintis dan 1,500 kanak-kanak. Sehingga Oktober 2026, lebih 125,000 kanak-kanak dilaporkan mengikuti pembelajaran hafazan melalui peluasan program itu ke seluruh negara.

Tetapi asas yang dibina sejak kecil perlu disambung. PELITA@KEMAS menyediakan kesinambungan untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun, dengan sasaran hafazan sekurang-kurangnya lima juzuk sebelum memasuki sekolah menengah.

Di peringkat menengah, usaha mengululalbabkan MRSM terus diperkasakan melalui pendekatan pendidikan yang menggabungkan hafazan al-Quran, kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah. Langkah ini penting bagi memastikan asas hafazan yang dipupuk sejak prasekolah dan sekolah rendah dapat diteruskan secara lebih tersusun, sekali gus membina kesinambungan pendidikan tahfiz sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Sehingga September 2026, lebih 4,800 huffaz dilaporkan telah dilahirkan melalui MRSM Ulul Albab. Tahun ini sahaja, 438 pelajar menyempurnakan hafazan 30 juzuk, mengatasi sasaran MARA sebanyak 400 pelajar. Angka ini memberi keyakinan bahawa kedua-dua bidang boleh diperkukuh serentak apabila peluang dan bimbingan tersedia.

MEMBUKA LALUAN, MEMBINA MASA DEPAN

Namun, ke manakah seorang hafiz boleh melangkah selepas tamat persekolahan? Melalui kerjasama Darul Quran JAKIM dengan institusi pengajian tinggi termasuk UIAM, UNITEN dan UTeM, sebanyak 3,638 graduan program pensijilan tahfiz JAKIM–IPT telah direkodkan. Laluan ini membolehkan hafazan diteruskan bersama pengajian akademik dan profesional.

Jaringan tersebut turut diperkukuh melalui 10 memorandum persefahaman strategik pada Himpunan 2025, melibatkan institusi agama, universiti dan penyedia latihan kemahiran. Namun, ukuran kejayaan kerjasama bukan pada banyaknya dokumen ditandatangani, tetapi pada peluang yang benar-benar sampai kepada pelajar.

Laluan TVET juga semakin terbuka. Sepanjang 2023 hingga 2025, seramai 2,364 pelajar tahfiz mendaftar dalam program latihan kemahiran, manakala 900 pelajar direkodkan memperoleh pensijilan kemahiran. Bagi anak-anak yang meminati dunia teknologi atau industri, hafazan al-Quran bukanlah penghalang untuk membina kerjaya dalam bidang tersebut.

Peluang itu turut memerlukan pembiayaan. Skim Pembiayaan Huffaz (SPH) JAKIM merekodkan peruntukan RM91 juta sejak 2012, dengan 1,689 penerima melanjutkan pengajian dalam dan luar negara. Daripada perubatan hingga kejuruteraan dan teknologi maklumat, sokongan ini membantu merapatkan jurang antara impian keluarga dengan peluang pendidikan anak-anak mereka.

Tidak semua pelajar tahfiz dapat menyempurnakan 30 juzuk atau memenuhi syarat akademik yang sama. Ada yang lebih menyerlah dalam bidang teknikal, keusahawanan atau kemahiran lain. Ekosistem yang adil perlu menyediakan laluan yang sesuai untuk mereka, bukan hanya meraikan pelajar yang sudah cemerlang. Mereka juga menyimpan impian yang tidak wajar dipadamkan oleh satu ukuran kejayaan.

HUFFAZ PROFESIONAL, PEMACU PERADABAN

Semua ikhtiar ini menuju aspirasi Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050. Sasaran itu bukan semata-mata soal bilangan. Ia tentang memastikan penghafaz al-Quran mempunyai ilmu, kebolehan dan keyakinan untuk memainkan peranan dalam pembangunan negara.

Bayangkan seorang hafiz menjadi doktor, jurutera, penyelidik, usahawan atau pakar teknologi yang menggunakan kepakarannya dengan penuh amanah. Peradaban tidak hanya dibina melalui kemajuan ekonomi atau kecanggihan teknologi, tetapi juga melalui nilai dan integriti insan yang menggerakkannya. Sebab itu, mutu institusi, pengiktirafan kelayakan dan hubungan dengan industri mesti terus diperkukuh. Ukuran akhirnya ialah sumbangan huffaz kepada masyarakat, bukan sekadar jumlah graduan. Di sinilah gagasan besar perlu dibuktikan melalui hasil yang dapat dirasai masyarakat.

Kerjasama di bawah penerajuan Pejabat Timbalan Perdana Menteri bersama JAKIM, PERMATA Al-Quran, MARA, Yayasan Pahang dan Sekretariat Majlis TVET Negara memperlihatkan bagaimana kekuatan pelbagai pihak boleh digabungkan. Ada yang memperkukuh standard tahfiz, ada yang menghubungkan madrasah, menyediakan laluan akademik dan memperluas latihan kemahiran. Namun, kerjasama itu mesti berterusan selepas himpunan. Anak-anak tahfiz memerlukan peluang yang berpanjangan, bukan hanya inspirasi daripada sebuah majlis.

Pada akhirnya, kekuatan generasi huffaz bukan hanya terletak pada ayat al-Quran yang dihafaz, tetapi pada nilai yang dihayati, ilmu yang dimanfaatkan dan bakti yang disumbangkan kepada masyarakat serta negara. Kita tidak sekadar mahu melahirkan generasi yang memelihara al-Quran dalam ingatan, tetapi generasi yang mengangkat nilai-nilainya menjadi kekuatan untuk membina masa depan dan peradaban negara.

Dr. Afif Farhi Othman ialah Pegawai Khas YAB Timbalan Perdana Menteri

The post Menjelang Himpunan 26k Huffaz: Membina ekosistem, memacu peradaban appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news