LATEST

Selesa merendah diri selain sedar masih dalam proses ‘cari ilmu’

Selesa merendah diri selain sedar masih dalam proses ‘cari ilmu’

puterialia@hmetro.com.my

Baca juga: Eyra Hazali Umum Hamil Anak Keempat

Mula berjinak-jinak dalam bidang penerbitan sejak 2021, pelakon, Syafiq Kyle memilih untuk tidak terlalu menonjolkan diri sebagai penerbit terutama selepas kejayaan drama bersiri Good Boys Go To Heaven.

Syafiq atau nama sebenar Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 34, berkata pendekatan itu diambil kerana matlamat asal menerbitkan sesebuah karya bukan untuk memaklumkan bahawa dia memegang peranan sebagai penerbit.

“Bagi saya, kadang-kadang orang tidak perlu tahu pun saya penerbit. Tujuan saya menjadi penerbit bukan mahu dikenali orang ramai, tetapi bila orang sudah tahu, Alhamdulillah.

“Bukan saya tidak mahu ke depan, cuma banyak lagi perkara di belakang saya kena belajar yang membuatkan saya susah untuk ke depan.

“Insya-Allah selepas ini saya akan lagi ke depan dan tunjuk muka. Mungkin lain orang lain keselesaannya. Macam saya, saya lebih suka nak tengok reaksi penonton,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Tanah Kubur ini sentiasa mahu kekal merendah diri dalam bidang penerbitan kerana kehendak utamanya berkecimpung dalam dunia seni untuk menghasilkan karya di bawah kawalannya sendiri.

“Kalau boleh saya mahu ‘low profile’ sahaja dalam bidang penerbitan ini. Saya jadi penerbit sebab saya nak buat ‘barang’ (karya seni) yang saya boleh kawal sendiri dan saya nak bawa barang kat dalam rumah saya sendiri yang saya tahu saya mampu untuk hasilkan.

“Selain itu, saya nak banyakkan lagi peluang pekerjaan untuk orang-orang yang berbakat supaya kita dapat bekerjasama.

“Mungkin bukan sekarang, mungkin lagi 10 hingga 15 tahun lagi untuk saya ke depan. Sekarang ini masih banyak lagi saya perlu belajar,” katanya lagi.

Syafiq bagaimanapun tidak pernah mempunyai sebarang niat mahupun perancangan untuk bergelar seorang penerbit sewaktu mula menjejakkan kaki dalam industri seni ini.

“Dulu masa awal-awal, memang tak ada niat pun. Tetapi sekarang, bila dah proses jadi pelakon hampir lapan ke sembilan tahun, pernahlah saya terfikir, kalau saya jadi penerbit.

“Saya senang untuk nak buat cerita macam mana yang saya nak,” kongsi pelakon yang memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian dalam Anugerah Skrin 2018 menerusi drama Nur.

Belum ada rezeki berlakon drama bersiri

Dilihat sering menjayakan filem, pelakon filem Malaikat Malam ini berkata, kekangan masa dan jadual kerja yang padat menjadi faktor utama mengapa dia jarang membintangi drama bersiri sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, dia tidak menafikan ada menerima tawaran daripada syarikat produksi untuk membintangi drama bersiri terbitan mereka.

Bagaimanapun, katanya, masa yang diperlukan untuk sesebuah drama mengambil tempoh agak panjang iaitu hampir mencecah enam bulan menyebabkan dia perlu menolaknya.

“Kalau drama itu sebanyak 15 episod pun dah ambil masa panjang, apatah lagi bila drama itu 20 hingga 30 episod. Jadi, kadang-kadang masa itu tidak kena dengan jadual saya.

“Kadang-kadang saya ada bagi masa (luang) juga untuk drama, tetapi pihak produksi pula tidak boleh ikut jadual saya.

“Setakat ini tiada rezeki. Bila orang tanya saya, kenapa tidak berlakon drama, saya tak tahu nak jawab macam mana. Cuma saya boleh jawab tiada rezeki lagi buat masa ini,” katanya yang bakal muncul dalam filem terbaharu Takluk 2: Op Daulat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news