LATEST

Faizal janji beri sepenuh jiwa raga di final

Faizal janji beri sepenuh jiwa raga di final

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: 72 rakyat Malaysia diselamatkan daripada sindiket scam di India

Kuala Lumpur: Pemain berpengalaman negara, Faizal Saari berjanji memberikan sepenuh jiwa dan raganya demi membantu Speedy Tigers mencipta kejutan menewaskan Australia pada final Piala Sultan Azlan Shah 2026, esok.

Walaupun berdepan cabaran pasukan ranking ketiga dunia, penyerang itu percaya kelebihan beraksi di laman sendiri mampu menjadi pembakar semangat buat skuad kebangsaan memburu kejayaan bersejarah.

“Australia di ranking ketiga dunia tetapi kita bermain di laman sendiri. Apa sahaja boleh berlaku dan kami akan berikan sepenuh jiwa dalam aksi final nanti,” katanya.

Keyakinan Faizal hadir selepas Speedy Tigers melangkah ke final menerusi aksi penuh dramatik apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum mengikat Pakistan 5-5, sekali gus mengesahkan tempat dalam perlawanan penentuan.

Pemain berkenaan turut menjadi watak penting dalam kebangkitan itu apabila meledak hatrik, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 11 gol.

Bagaimanapun, Faizal tidak mahu kejayaan itu dilihat sebagai hasil usaha individu, sebaliknya menyifatkan semangat juang dan sokongan rakan sepasukan menjadi faktor utama kejayaan mereka.

“Apabila saya ada peluang, saya akan gunakan sebaik mungkin. Saya pun tidak sangka dapat menjaringkan dua gol dalam tempoh yang amat pantas, saya cuma berikan yang terbaik buat pasukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news