LATEST
National

Membina negara melalui manusia: Jejak Tun Abdullah Ahmad Badawi dan peranan LEGASI

Membina negara melalui manusia: Jejak Tun Abdullah Ahmad Badawi dan peranan LEGASI

Tanggal 26 November menandakan ulang tahun kelahiran Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ke-87 dan pada tarikh yang sama juga, genap 19 bulan 12 hari beliau meninggalkan kita dengan hembusan nafas terakhir pada 14 April 2025.

Baca juga: Klaveness akui sukar singkir Infantino

Allahyarham bukan sahaja seorang Perdana Menteri yang pernah memimpin negara, malah negarawan yang menekankan pembangunan insan sebagai asas terpenting dalam membina masa depan Malaysia.

Bagi bekas pegawai khas yang bertugas hampir 20 tahun bersama Allahyarham, Datuk Jefridin Atan, sumbangan terbesar sosok lebih dikenali sebagai Pak Lah ini bukan terletak pada kemegahan bangunan atau mercu tanda negara, tetapi pada pemikiran dan gagasan yang mengutamakan pembinaan manusia berkualiti.

Sepanjang mengenali dan berkhidmat dengan Pak Lah, Jefridin melihat pendekatan kepimpinan yang unik, berasaskan nilai Islam, kesederhanaan, ketenangan dan keprihatinan terhadap pembangunan masyarakat.

Pak Lah tidak menilai kejayaan negara dari segi pembangunan infrastruktur atau pencapaian ekonomi sahaja, sebaliknya mahu memastikan insan yang menggerakkan pembangunan itu memiliki ilmu, jati diri, integriti dan kemampuan menyumbang kepada masyarakat.

“Ketika mengambil alih pentadbiran daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, Pak Lah tidak berlumba-lumba membina bangunan pencakar langit atau mercu tanda baharu. Beliau mahu membina insan yang mengisi bangunan itu.

“Allahyarham faham pentingnya membentuk ciri-ciri insan yang akan mewarisi negara,” kata Jefridin yang juga Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI)LEGASI.

LEGASI ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digerakkan sejak 10 tahun lalu sebagai wadah untuk memelihara, mendokumentasikan dan menyebarluaskan pemikiran, gagasan serta sumbangan kepimpinan Tun Abdullah.

Jefridin yang ditemui dalam program khas ulang tahun ke-10 LEGASI di Putrajaya, menjelaskan membina insan bukan perkara mudah seperti mendirikan bangunan, sebaliknya memerlukan kesabaran, ilmu, pendidikan dan pendekatan yang mampu membentuk pemikiran serta jiwa.

Pak Lah tidak mahu Malaysia sekadar lengkap dengan kemudahan bertaraf dunia tetapi mentaliti masyarakatnya masih mundur. Beliau mahu melahirkan generasi berilmu, berakhlak, berintegriti dan berjati diri untuk meneruskan pembangunan negara.

Atas sebab itu, Allahyarham dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan kerana meletakkan insan sebagai keutamaan pentadbirannya.

Islam Hadhari panduan pembangunan

Satu lagi gagasan besar yang sinonim dengan kepimpinan Pak Lah ialah Islam Hadhari, iaitu pendekatan membangun negara berasaskan prinsip Islam secara progresif, seimbang dan menyeluruh.

Islam Hadhari bukan sekadar slogan, tetapi mekanisme dengan kerangka dan prinsip tertentu untuk melaksanakan pembangunan negara secara terancang.

Walaupun ada persamaan dengan gagasan Malaysia MADANI, Islam Hadhari memiliki 10 prinsip pelaksanaan yang jelas, iaitu keimanan dan ketakwaan kepada Allah; kerajaan yang adil dan beramanah; rakyat berjiwa merdeka; penguasaan ilmu pengetahuan serta pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif.

Prinsip seterusnya ialah kehidupan berkualiti; pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita; keutuhan budaya dan moral; pemeliharaan alam semula jadi serta kekuatan pertahanan.

Setiap prinsip membawa nilai yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan dan pentadbiran. Contohnya, prinsip pemeliharaan alam menuntut tanggungjawab menjaga keseimbangan alam, termasuk isu jerebu, pencemaran sungai, kemusnahan hutan dan perubahan iklim.

“Islam Hadhari menuntut umat Islam menjaga alam sekitar dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang. Ini menunjukkan gagasan Pak Lah bukan sekadar berkaitan pembangunan ekonomi atau dasar negara, tetapi juga tanggungjawab manusia terhadap alam,” jelas Jefridin.

Kelebihan pendekatan Pak Lah adalah bagaimana nilai Islam diterjemahkan dalam tindakan harian, bukan hanya ucapan kosong atau dokumen dasar semata.

LEGASI teruskan perjuangan Pak Lah

Kesedaran pentingnya kesinambungan gagasan dan pemikiran Allahyarham membawa kepada penubuhan LEGASI pada 2016 bagi memastikan sumbangan Pak Lah terus dikenang dan difahami.

Pada ulang tahun ke-10 penubuhan tahun ini, LEGASI menganjurkan program Perbincangan Meja Bulat berkaitan ekonomi halal di Putrajaya.

Jefridin yang mengetuai LEGASI sejak awal penubuhan, berkata pelbagai syarahan, wacana dan persidangan dianjurkan dalam dan luar negara untuk menghidupkan semula gagasan dan perjuangan Pak Lah dalam bidang Islam Hadhari, pembangunan ummah, industri halal dan pembangunan modal insan.

Industri halal adalah bidang berpotensi besar untuk memacu ekonomi negara dan memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa. Ia merangkumi bukan sahaja makanan dan minuman, tetapi juga farmaseutikal, kosmetik, logistik, pelancongan dan perkhidmatan.

LEGASI menyokong usaha kerajaan memperkukuh industri halal supaya Malaysia bukan sahaja negara berpensijilan halal, tetapi juga sebagai peneraju dan rujukan dunia dalam ekosistem halal menyeluruh.

Selain itu, LEGASI memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan yang berkualiti, melahirkan masyarakat berilmu, berkemahiran, berakhlak serta berjiwa prihatin dan sedia membantu.

Pembangunan ummah bukan sekadar kejayaan individu, tetapi sejauh mana seseorang memberi manfaat kepada masyarakat.

Pemimpin berjiwa besar

Bercakap tentang pengalaman 20 tahun bersama Pak Lah, Jefridin memuji ketenangan Allahyarham ketika menghadapi pelbagai cabaran dan membuat keputusan besar.

Setiap pemimpin ada gayanya, namun Pak Lah memilih pendekatan berdasarkan nilai Islam, pembinaan jiwa dan hubungan kemanusiaan.

Beliau percaya apabila jiwa dan pemikiran rakyat terbentuk dengan nilai mulia, gagasan pembangunan mudah diterima dan dilaksanakan.

Sikap matang Pak Lah terserlah apabila beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 2009 ketika berada di puncak kuasa.

Keputusan itu bukan mudah, tetapi menunjukkan beliau memahami kuasa adalah amanah dan sementara. Pemimpin sebenar meletakkan kepentingan negara di atas kuasa peribadi.

Warisan untuk generasi akan datang

Mengurus LEGASI bukan tugas ringan, terutama memastikan gagasan Pak Lah kekal relevan untuk masyarakat.

Sebagai pengerusi, Jefridin menganggap tanggungjawab digalasnya sebagai amanah untuk memastikan perjuangan Pak Lah tidak hanya sebagai sejarah, tetapi program pembangunan berterusan memberi manfaat masyarakat.

LEGASI perlu kesinambungan kepimpinan supaya perjuangan terus maju dan ulang tahun ke-10 NGO itu bukan penutup perjuangan, tetapi permulaan memperluas penyebaran pemikiran dan nilai Pak Lah kepada generasi muda.

Masyarakat, khasnya generasi yang tidak mengenali Pak Lah secara dekat, perlu faham kejayaan pemimpin bukan hanya diukur lewat bangunan atau projek mega.

Ada pemimpin meninggalkan legasi berharga melalui pembinaan insan, pengukuhan nilai, ilmu dan pemikiran.

Pak Lah meninggalkan legasi pembangunan modal insan – warisan yang mesti diteruskan agar generasi akan datang tidak hanya mewarisi kemajuan negara, tetapi juga nilai dan jati diri untuk mempertahankannya.

Penulis ialah Perunding Media Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi -(LEGASI)

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news