razis@hmetro.com.my
Baca juga: SPRM nafi dakwaan amalan ‘dua darjat’ dilontar Lim Guan Eng
Kuala Lumpur: Kerajaan setakat ini tidak meluluskan sebarang peruntukan khusus kepada Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai dana khas untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah bawah kementerian itu.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, peruntukan tahunan yang diluluskan kerajaan kepada KPM pada dasarnya bagi membiayai pengoperasian sekolah dan pelaksanaan aktiviti murid.
“Peruntukan yang diluluskan kepada KPM oleh kerajaan setiap tahun adalah secara dasarnya bagi tujuan pengoperasian sekolah-sekolah dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti pelajar di bawah KPM.
“Buat masa ini, tiada peruntukan khusus yang diluluskan oleh kerajaan kepada KPM sebagai dana khas kepada PIBG di sekolah-sekolah bawah KPM,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai kesediaan KPM mewujudkan peruntukan khusus tahunan yang disalurkan terus kepada PIBG di setiap sekolah, terutama di luar bandar dan pedalaman dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen.
Fadhlina berkata, KPM sentiasa komited memastikan kemenjadian murid dicapai melalui kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa dan komuniti.
“Justeru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), yang ditubuhkan di bawah Peraturan-peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa-Guru) 1998, memainkan peranan penting dalam menyokong guru dan pihak sekolah.
“PIBG boleh membantu pihak sekolah melalui pelbagai inisiatif seperti membiayai kelas tambahan, menyediakan modul latihan, serta menyokong aktiviti kokurikulum,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu dapat meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah murid, selain meringankan beban guru supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Kata beliau, PIBG juga boleh membantu menyediakan kemudahan dan prasarana sekolah, termasuk peralatan PdP seperti papan pintar.
“Peranan itu turut dilengkapi inisiatif Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) yang menggalakkan kerjasama dengan komuniti, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta.
“Melalui PIBKS, aspek keselamatan fizikal, psikologi dan digital murid turut diberi perhatian, bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan sejahtera,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd