LATEST
National

Klaveness akui sukar singkir Infantino

Klaveness akui sukar singkir Infantino

OSLO: Presiden Persatuan Bolasepak Norway, Lise Klaveness mengakui usaha untuk menyingkirkan Gianni Infantino daripada jawatan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bukan mudah, namun peluang itu masih terbuka menjelang pemilihan Mac depan.

Baca juga: Takaful Malaysia catat untung bersih suku ketiga lebih besar RM127.88 juta

Klaveness yang lantang mengkritik kepemimpinan Infantino sejak Piala Dunia 2022 di Qatar berkata, perkembangan politik dunia yang tidak menentu menyukarkan sebarang ramalan mengenai keputusan pemilihan berkenaan.

“Memang sukar untuk menyingkirkannya,” kata Klaveness, bekas pemain kebangsaan Norway dan seorang peguam, ketika ditemui media antarabangsa di Oslo, semalam.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kemungkinan muncul calon lain untuk menggantikan Infantino masih ada, meskipun penyandang jawatan itu ketika ini dilihat mendapat sokongan besar.

Infantino yang menerajui FIFA sejak 2016 akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Mac depan, dengan Konfederasi Bolasepak Eropah (UEFA) menyokong pencalonan Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis, Philippe Diallo.

Namun, Infantino masih mendapat sokongan Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF), Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Klaveness bagaimanapun mengingatkan bahawa undi pemilihan bukan ditentukan oleh konfederasi, sebaliknya setiap persatuan bola sepak kebangsaan mempunyai hak mengundi secara sulit.

“Itulah sebabnya peluang itu masih terbuka,” katanya.

Beliau turut berharap Diallo dan seorang lagi calon, Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Jepun, Kozo Tashima dapat bergabung tenaga bagi mencabar Infantino.

Infantino berdepan beberapa kontroversi kebelakangan ini, termasuk dakwaan mengamalkan kepemimpinan secara bersendirian, penganugerahan Anugerah Keamanan FIFA kepada Donald Trump serta cadangan menjual sebahagian hak komersial Piala Dunia yang kemudian dibatalkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news