LATEST

Solidariti Palestin cetus kekecohan di Batumi

Solidariti Palestin cetus kekecohan di Batumi

Tbilisi: Paparan sepanduk pro-Palestin oleh penyokong Besiktas mencetuskan kekecohan di Batumi, Georgia, sehingga menyebabkan aksi Liga Europa menentang kelab Israel, Hapoel Beer-Sheva, dihentikan sementara pada minit ke-26, awal pagi tadi.

Baca juga: 10 pemain Bournemouth tundukkan Celta Vigo

Insiden itu menyaksikan penyokong kelab Turkiye berkenaan bertembung dengan pihak polis, sekali gus mencetuskan ketegangan sehingga memerlukan campur tangan pihak berkuasa.

Paparan sepanduk bertulis ‘Bangkit menentang penjajahan, kebebasan untuk Palestin’, selain kibaran bendera Palestin dan laungan slogan anti-Israel, mencetuskan perhatian sebelum polis bertindak mengawal keadaan.

Kementerian Dalam Negeri Georgia dalam satu kenyataan memaklumkan tiga anggota polis mengalami kecederaan, manakala 16 individu ditahan susulan insiden berkenaan.

Menurut kementerian itu, beberapa penyokong turut membaling kerusi stadium ke arah anggota keselamatan, selain menegaskan tindakan polis bukan berpunca daripada paparan bendera atau sepanduk pro-Palestin.

Bagaimanapun, agensi berita DHA melaporkan polis menggunakan semburan lada terhadap penyokong, dengan beberapa individu memerlukan rawatan perubatan.

Persatuan Bolasepak Turkiye (TFF) turut mengecam tindakan polis Georgia yang disifatkan sebagai tidak boleh diterima, manakala Besiktas mengesahkan pihaknya sudah mengemukakan aduan kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) berhubung dakwaan penggunaan kekerasan secara berlebihan.

Kelab itu turut memaklumkan sedang bekerjasama dengan konsulat jeneral Turkiye di Batumi dan UEFA bagi memastikan keselamatan penyokong mereka, termasuk sehingga semua kembali ke negara asal.

Insiden berkenaan turut mencetuskan ketegangan diplomatik apabila Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan menghubungi rakan sejawatnya dari Georgia, Maka Botchorishvili, bagi membincangkan perkembangan situasi itu.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan turut mengikuti perkembangan berkenaan dan menghubungi Pengerusi Besiktas, Serdal Adali untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Perlawanan berkenaan dipindahkan dari Istanbul ke Georgia selepas pihak berkuasa Turkiye memaklumkan kepada UEFA bahawa faktor keselamatan tidak mengizinkan aksi itu berlangsung di negara berkenaan.

Hubungan Turkiye dan Israel sebelum ini semakin tegang sejak tercetusnya perang di Gaza, dengan sepanduk serta laungan solidariti terhadap Palestin kerap dipaparkan penyokong bola sepak di Turkiye.

Selepas perlawanan, Hapoel Beer-Sheva turut mengeluarkan pesanan kepada penyokong mereka supaya bertindak dengan penuh tanggungjawab dan mematuhi arahan pihak keselamatan Georgia ketika meninggalkan stadium.

Insiden itu turut mendapat perhatian beberapa kelab Turkiye termasuk Galatasaray, Fenerbahce dan Trabzonspor yang menyatakan solidariti kepada Besiktas.

Seorang kakitangan Besiktas memaklumkan kepada AFP bahawa lima penyokong sedang menerima rawatan di hospital.

Meskipun dicemari insiden berkenaan, perlawanan akhirnya menyaksikan Besiktas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Hapoel Beer-Sheva.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news