LATEST

KPDN terus perkukuh tadbir urus e-dagang, gubal RUU e-Dagang

KPDN terus perkukuh tadbir urus e-dagang, gubal RUU e-Dagang

asmaini@mediaprima.com.my

Baca juga: Bournemouth terus mengganas, Milan kembali menyengat

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang memperkukuh tadbir urus perdagangan elektronik (e-dagang) negara menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang bagi memberi penekanan terhadap akauntabiliti pengendali platform.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu merangkumi aspek kebolehkesanan penjual, perlindungan pengguna, pematuhan undang-undang Malaysia serta keperluan penyediaan data lebih teratur kepada pihak berkuasa.

Kata beliau, ia bagi mengatasi jurang data rentas sempadan yang masih berpecah dalam beberapa set data berbeza.

“Pada masa ini, belum terdapat satu set data bersepadu yang membolehkan kerajaan menyatakan secara spesifik keseluruhan nilai dan bilangan transaksi pengguna tempatan dengan penjual luar negara, serta pecahan kategori barangan dijual.

“Ini kerana, statistik transaksi rentas sempadan sekarang berada di bawah beberapa sumber berbeza, antaranya data e-dagang Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), data percukaian dan kemasukan barangan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta data transaksi yang dipegang pengendali platform e-dagang,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Armizan menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN- Hulu Terengganu) yang meminta KPDN menyatakan nilai dan jumlah transaksi e-dagang rentas sempadan yang membabitkan penjual luar negara bagi 2024 hingga kini serta kategori barangan yang paling banyak dijual kepada pengguna Malaysia.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, berdasarkan statistik DOSM, jumlah keseluruhan pendapatan e-dagang Malaysia pada 2024 mencecah RM1.288 trilion.

Kata beliau, pendapatan e-dagang daripada pasaran antarabangsa pula direkodkan sebanyak RM138.0 bilion, meningkat 5.2 peratus berbanding RM131.1 bilion pada 2023.

“Bagaimanapun, angka RM138.0 bilion itu merangkumi keseluruhan pendapatan pasaran antarabangsa dan bukan secara khusus merujuk kepada nilai pembelian pengguna Malaysia daripada penjual luar negara.

“Bagi perbelanjaan e-dagang pasaran antarabangsa pula, DOSM merekodkan RM44.9 bilion pada 2024 berbanding RM40.8 bilion pada 2023.

“Namun statistik itu tidak dipecahkan secara khusus mengikut transaksi perniagaan kepada pengguna ( B2C) antara pengguna tempatan dan penjual luar negara, negara asal penjual atau kategori barangan,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata, kerajaan mempunyai mekanisme khusus bagi barangan bernilai rendah berharga tidak melebihi RM500 yang dibeli secara dalam talian dari luar negara dan dibawa masuk ke Malaysia melalui darat, laut atau udara.

Kata beliau, di bawah mekanisme dilaksanakan JKDM, cukai jualan pada kadar 10 peratus ke atas LVG sudah mula dikenakan sejak 1 Januari 2024.

“KPDN ingin menegaskan bahawa penggubalan RUU berkenaan adalah bertujuan untuk memastikan perkembangan e-dagang rentas sempadan terus memberi manfaat, sambil menjamin perlindungan kepada pengguna dan peniaga tempatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news