LATEST

Imane buka lembaran profesional di Paris

Imane buka lembaran profesional di Paris

Paris: Juara tinju Olimpik Algeria, Imane Khelif, bakal berdepan petinju Perancis, Elsa Hemat, pada penampilan profesional pertamanya di Paris, 15 Disember ini.

Baca juga: Tevez mahu satukan Messi, Ronaldo

Imane menerima lawan baharu selepas Clarida Sarabia menarik diri daripada pertarungan berkenaan yang dijadual berlangsung di Maison de la Mutualite, bermula 6.30 petang waktu United Kingdom.

Promoter, Stair Event, mengesahkan perubahan itu kepada Reuters semalam.

Hemat, 44, menggantikan petinju Belanda berusia 21 tahun yang sebelum ini dijadual menentang Imane dalam pertarungan enam pusingan.

Promoter memaklumkan Clarida menarik diri atas sebab pentadbiran, namun tarikh pertarungan di Paris dikekalkan.

Elsa mempunyai pengalaman bertinju di hadapan penyokong Perancis.

Dia mewakili Academie des Boxes pada Villejuif Boxing Show, April lalu, ketika penganjur mengiklankan pertarungannya menentang petinju Republik Czech, Johana Rajmont, bagi merebut tali pinggang Antarabangsa WBF.

Laporan penganjur dari Villejuif merekodkan kemenangan buat Elsa.

Bagi Imane, pertarungan Disember itu menandakan aksi rasmi pertamanya sejak final Olimpik pada 9 Ogos 2024.

Di Roland-Garros, dia menewaskan wakil China, Yang Liu, untuk meraih gelaran 66 kilogram wanita apabila kesemua lima hakim memberikan kemenangan kepadanya.

Lebih dua tahun kemudian, Imane kembali ke kota sama untuk memulakan karier profesionalnya.

Penganjur menyenaraikan empat lagi pertarungan profesional membabitkan petinju daripada Team Wonderland. Program itu turut menampilkan dua pertarungan amatur.

Venue berkenaan terletak di Latin Quarter, kawasan yang pernah menyaksikan bekas juara dunia kelas menengah, Marcel Cerdan, beraksi di gelanggang tinju, jauh sebelum Imane meraih emas Olimpik di kota sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news