BAGHDAD: Kumpulan bersenjata yang disokong Iran di Iraq dilaporkan sedang membuat persiapan untuk menyerang aset ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat sekiranya Washington melancarkan serangan baharu terhadap Iran.
Akhbar Iraq, Al-Mada yang memetik beberapa sumber melaporkan Kataib Hezbollah sudah memindahkan peralatan ketenteraan ke bahagian barat Iraq dan membina beberapa kedudukan baharu.
Baca juga: Klaveness akui sukar singkir Infantino
Kumpulan bersenjata itu turut mengerahkan pasukan tambahan, manakala penasihat dari Iran dan Houthi dilaporkan masih berada di kawasan berkenaan, menurut laporan pada Rabu.
Kataib Hezbollah merupakan antara beberapa kumpulan bersenjata di Iraq yang mengaku melancarkan serangan terhadap tentera AS di negara-negara Teluk sejak perang AS-Israel terhadap Iran bermula pada 28 Februari lalu.
Dalam laporan berasingan, Institut Kajian Perang (ISW) dan Projek Ancaman Kritikal (CTP) turut menyatakan kumpulan bersenjata Iraq sedang merangka persiapan sejak beberapa minggu lalu untuk bertindak balas terhadap sebarang serangan baharu AS ke atas Iran.
Awal minggu ini, seorang pegawai Iraq memberitahu Al Jazeera, Komander Pasukan Quds Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Esmail Qaani tiba di Iraq bagi mengusahakan penyelesaian terhadap ketegangan yang masih berlarutan dengan Teheran.
Sementara itu, Jurucakap tentera Israel, Effie Defrin berkata, negaranya bersedia menyerang Iran dengan kekuatan penuh pada bila-bila masa, termasuk secara bersendirian tanpa bantuan AS.
Menurut penyiar awam Israel, Kan, Defrin berkata, Teheran terus menjadi ancaman kewujudan kepada Israel, manakala hasrat Iran untuk memusnahkan negara itu masih belum berubah.
Sejak perang bermula pada 28 Februari lalu, Israel dan Iran saling mengeluarkan ancaman secara berterusan.
Pada September lalu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, tentera negaranya akan mengebom Iran sehingga kembali ke Zaman Batu dan kegelapan sekiranya Teheran menyerang Israel.
Sementara itu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan sekatan dan perang yang dilakukan AS dan Israel gagal halang kemajuan negaranya.
Beliau berkata, walaupun musuh mewujudkan keadaan sukar kepada negara itu, Iran tetap berjaya mencapai kemajuan besar dan menggesa rakyat negara itu supaya bersatu menghadapi sebarang tekanan.
“Musuh tidak mahu Iran mencapai kemajuan, tetapi kita mesti mengetepikan perbezaan, berganding bahu dan bergantung pada kekuatan dalam negara.
“Penyertaan rakyat penting untuk meneruskan usaha pertumbuhan, pembangunan dan kemakmuran negara dengan penuh kekuatan,” katanya ketika menghadiri majlis menandakan fasa pertama pembinaan laluan baharu kereta api bandar.
The post Kumpulan bersenjata Iraq siap sedia balas serangan AS ke atas Iran appeared first on Utusan Malaysia.