LATEST

SPRM nafi dakwaan amalan ‘dua darjat’ dilontar Lim Guan Eng

SPRM nafi dakwaan amalan ‘dua darjat’ dilontar Lim Guan Eng

harisfadli@hmetro.com.my

Baca juga: Imane buka lembaran profesional di Paris

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dan menolak dakwaan amalan ‘dua darjat’ dalam siasatan mereka seperti yang didakwa oleh Penasihat DAP Lim Guan Eng.

SPRM dalam kenyataan berkata, dakwaan itu sama sekali tidak berasas dan tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti serta tatacara kerja yang menjadi pegangan dalam melaksanakan setiap siasatan.

“Untuk makluman, SPRM sudah memulakan siasatan berhubung isu perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang melibatkan sebuah kementerian pada 7 Oktober 2026.

“Sehingga kini, 20 saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Siasatan masih diteruskan dan SPRM sedang meneliti segala maklumat serta keterangan yang diperoleh bagi memastikan setiap aspek berkaitan perkara ini disiasat secara menyeluruh,” katanya hari ini.

Terdahulu, Guan Eng dalam hantaran di Facebook mendakwa, SPRM mengamalkan sikap dua darjat apabila mengambil tindakan pantas berhubung kontroversi pelanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Dalam hantaran itu, Guan Eng mempersoalkan mengapa tiada tindakan sama daripada SPRM berhubung perbelanjaan kementerian diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melebihi peruntukan belanjawan diluluskan.

Mengulas lanjut, SPRM berkata, pihaknya menghormati hak setiap individu atau mana-mana pihak untuk menyuarakan pandangan, kritikan dan teguran namun perlu dilakukan berlandaskan fakta serta bertanggungjawab.

Katanya, setiap siasatan dilaksanakan berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang, tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang mana-mana individu.

SPRM berkata, pihaknya kekal komited untuk menjalankan tanggungjawab secara profesional, bebas, adil dan telus demi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang sentiasa dipelihara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news