LATEST
World News

Gambar beruang palsu hasil AI cetus operasi mencari di Rusia

MOSCOW – Gurauan seorang wanita di Rusia menggunakan kecerdasan buatan (AI) bertukar menjadi insiden mencetuskan panik apabila gambar seekor beruang palsu yang dihasilkan menerusi ChatGPT menyebabkan polis dan renjer hidupan liar dikerahkan untuk memburu haiwan yang sebenarnya tidak wujud.Kejadian berlaku di penempatan Magdagachi, wilayah Amur apabila wanita berusia 21 tahun itu menghasilkan gambar seekor beruang coklat besar seolah-olah sedang berjalan di jalan raya kawasan berkenaan.Menurut laporan media tempatan, wanita itu pada mulanya hanya menghantar gambar berkenaan kepada seorang kenalannya sebagai gurauan pada September lalu.Bagaimanapun, keadaan menjadi tidak terkawal apabila gambar tersebut tersebar melalui aplikasi pesanan sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk yang menyangka seekor beruang liar berkeliaran berhampiran kediaman mereka.Beberapa penduduk kemudian menghubungi polis bagi melaporkan kehadiran haiwan berbahaya itu.Keadaan menjadi semakin serius apabila pihak berkuasa tempatan mengarahkan renjer hidupan liar menjalankan operasi mencari beruang berkenaan.Pasukan keselamatan dan pakar hidupan liar turut menyusuri kawasan yang dilaporkan bagi mengesan haiwan tersebut.Bagaimanapun, operasi itu akhirnya terbukti sia-sia selepas wanita terbabit menghubungi polis dan mengaku gambar berkenaan dihasilkan menggunakan teknologi AI.Menurut kenyataan perkhidmatan media mahkamah wilayah Amur, wanita itu kemudian dikenakan denda sebanyak 15,000 rubel (kira-kira AS$178) kerana menyebarkan maklumat palsu yang mencetuskan kebimbangan awam.Insiden itu bukan kes pertama melibatkan gambar beruang palsu yang dihasilkan menggunakan AI di Rusia.Pada pertengahan September lalu, seorang lagi wanita di wilayah Transbaikal turut dikenakan denda 30,000 rubel selepas menyebarkan gambar palsu seekor beruang di sebuah kampung.Penyebaran gambar berkenaan turut mencetuskan kebimbangan penduduk setempat.Menariknya, insiden itu berlaku ketika Rusia berdepan peningkatan pertembungan antara manusia dengan beruang liar.Sekurang-kurangnya 26 orang dilaporkan maut akibat serangan beruang sejak musim bunga tahun ini, ketika haiwan berkenaan keluar daripada tempoh hibernasi dalam keadaan kekurangan sumber makanan.Populasi beruang coklat di Rusia pula dianggarkan meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh tiga dekad kepada kira-kira 308,000 ekor.Kejadian itu menjadi peringatan bahawa penggunaan teknologi AI untuk menghasilkan kandungan palsu sebagai gurauan boleh mencetuskan kekeliruan, pembaziran sumber pihak berkuasa dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.- Agensi

More in World News

View all

Latest news