KUALA LUMPUR: Pertumbuhan industri negara tidak lagi boleh bergantung kepada kos pengeluaran yang rendah semata-mata.
Baca juga: Membina negara melalui manusia: Jejak Tun Abdullah Ahmad Badawi dan peranan LEGASI
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata selaras Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), tumpuan utama kini adalah memperkukuh keupayaan syarikat tempatan serta mempercepat penerima gunaan teknologi.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi selain memastikan nilai ekonomi yang lebih besar dapat dikekalkan dalam negara.
“Saya menghadiri Majlis SIRIM Industri 2026 bagi meraikan pencapaian syarikat dan organisasi yang komited dalam meningkatkan piawaian, kualiti serta daya saing industri Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada masa sama, Johari berkata, kerajaan tetap komited mengekang kemasukan produk import yang tidak mematuhi piawaian demi melindungi pengguna serta memastikan persaingan adil buat pengeluar tempatan.
Dalam majlis itu juga, beliau mengucapkan tahniah kepada SIRIM QAS International atas kejayaan menjadi badan pensijilan kebangsaan pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang meraih akreditasi AS9110 bagi organisasi penyelenggaraan penerbangan.
Kata beliau, SIRIM perlu terus berperanan sebagai rakan strategik dalam transformasi industri negara, terutamanya memperkukuh keupayaan syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat global.
© New Straits Times Press (M) Bhd