LATEST

Restoran dikecam, wajibkan semua pekerja wanita termasuk cef, tukang cuci bersolek

Restoran dikecam, wajibkan semua pekerja wanita termasuk cef, tukang cuci bersolek

Shanghai: Sebuah rangkaian restoran popular di China mencetuskan kontroversi apabila mewajibkan semua pekerja wanita termasuk tukang cuci dan kakitangan dapur mengenakan solekan ketika bertugas, lapor South China Morning Post (SCMP).

Baca juga: Tiada siasatan dua darjat! SPRM sangkal dakwaan Guan Eng

Rangkaian bufet stimbot gaya Jepun, restoran yang diasaskan di Shanghai itu sebelum ini tular selepas memperkenalkan ruang makan mesra ‘introvert’ khusus untuk pelanggan yang datang bersendirian.

Restoran berkenaan menawarkan hidangan stimbot individu pada harga purata 150 yuan (kira-kira RM92) seorang sekali gus menarik kehadiran ramai pelanggan muda.

Perkembangan itu seiring pertumbuhan ekonomi solo di China apabila bancian negara itu pada 2020 merekodkan kira-kira 125 juta penduduk tinggal bersendirian, sekali gus mendorong pelbagai perniagaan menawarkan produk dan perkhidmatan khusus untuk golongan berkenaan.

Niu New Sukiyaki yang memanfaatkan trend itu muncul antara restoran paling sukar ditempah di negara berkenaan dengan tempoh menunggu mencecah lapan jam manakala nombor giliran dilaporkan dijual semula pada harga sehingga 300 yuan (kira-kira RM185).

Bagaimanapun, kejayaan rangkaian itu kini dibayangi kecaman susulan peraturan ketat berkaitan penampilan pekerja wanita yang diwajibkan bersolek termasuk mengenakan gincu, pembayang mata, celak dan bulu mata palsu.

Kontroversi itu tercetus selepas seorang pelanggan memuat naik hantaran dalam talian bagi mempertahankan pramusaji yang sudah keletihan melayani jumlah pelanggan yang ramai selain terpaksa mematuhi syarat bersolek sebelum memulakan tugas.

Menurut media China, Vista Hydrogen Business, sesetengah cawangan hanya mengenakan syarat itu kepada pramusaji manakala cawangan lain mewajibkan semua pekerja wanita termasuk tukang cuci dan cef bersolek.

Sebaliknya, pekerja lelaki hanya perlu memastikan penampilan mereka bersih dan kemas.

Walaupun syarikat menyediakan elaun solekan bulanan sebanyak 100 yuan (kira-kira RM60) kepada pekerja sepenuh masa, dasar itu tetap dianggap tidak munasabah oleh kakitangan.

Seorang bekas pekerja mendakwa mereka terpaksa bangun seawal jam 5 pagi untuk membuat persiapan sebelum bekerja.

Seorang pemohon kerja sambilan dikenali sebagai Linlin pula mendakwa permohonannya ditolak kerana tidak menggunakan penyembur rambut dan kurang mahir bersolek.

Peraturan itu turut mengundang bantahan pelanggan yang berpendapat kualiti makanan dan perkhidmatan lebih penting berbanding penampilan pekerja.

Mereka juga menegaskan pramusaji tidak sepatutnya diwajibkan kelihatan cantik demi memenuhi kehendak pelanggan.

Niu New Sukiyaki belum memberikan maklum balas terhadap permohonan komen SCMP sehingga laporan itu diterbitkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news