LATEST
Social Media

Tiada siasatan dua darjat! SPRM sangkal dakwaan Guan Eng

Tiada siasatan dua darjat! SPRM sangkal dakwaan Guan Eng

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pihaknya mengamalkan siasatan secara dua darjat, sebaliknya menegaskan setiap tindakan dilaksanakan berlandaskan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan dakwaan berkenaan tidak berasas, malah tidak menggambarkan prinsip serta tatacara kerja yang diamalkan suruhanjaya itu dalam menjalankan siasatan.

Baca juga: Polis buka kertas siasatan! 55 laporan terhadap Tony Pua, dua babit MP Kota Melaka -KPN

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tegas menolak dakwaan bahawa Suruhanjaya ini mengamalkan siasatan secara dua darjat (double standard).
“Dakwaan tersebut adalah sama sekali tidak berasas dan tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti serta tatacara kerja yang menjadi pegangan SPRM dalam melaksanakan setiap siasatan,” katanya hari ini.

Mengulas mengenai isu perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) membabitkan sebuah kementerian, SPRM menjelaskan siasatan telah dimulakan sejak 7 Oktober lalu dengan seramai 20 saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan sudah dirakam percakapan.

“Sehingga kini, seramai 20 orang saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Siasatan masih diteruskan dan SPRM sedang meneliti segala maklumat serta keterangan yang diperoleh bagi memastikan setiap aspek berkaitan perkara ini disiasat secara menyeluruh,” ujarnya.

Foto arkib: Harian Metro

Dalam pada itu, SPRM turut mengingatkan semua pihak supaya mengemukakan kritikan secara bertanggungjawab dengan berpandukan fakta yang sahih, bukannya bersandarkan persepsi atau andaian semata-mata.

Suruhanjaya itu juga menegaskan kedudukan, pangkat mahupun latar belakang seseorang individu tidak mempengaruhi pelaksanaan sesuatu siasatan.

“SPRM ingin menegaskan bahawa setiap siasatan dilaksanakan berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang, tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang mana-mana individu.
“SPRM kekal komited untuk menjalankan tanggungjawabnya secara profesional, bebas, adil dan telus demi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang sentiasa dipelihara,” katanya lagi.

Terdahulu, Penasihat DAP, Lim Guan Eng mendakwa SPRM mengamalkan siasatan terpilih dalam menangani dua isu berbeza, iaitu kontroversi pelanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) serta isu perbelanjaan berlebihan RM2.1 bilion melibatkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Sumber: Facebook SPRM

More in Social Media

View all

Latest news