LATEST

400,000 tetamu hadir majlis kahwin, jamuan guna 500 tukang masak

400,000 tetamu hadir majlis kahwin, jamuan guna 500 tukang masak

Patna, India: Kira-kira 400,000 tetamu menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan seorang ahli politik di Bihar, negeri termiskin di India dalam sambutan besar-besaran yang berlangsung di sebuah kampung, Rabu lalu, The Guardian.

Baca juga: Untung bersih Oriental Kopi naik 28.6 peratus kepada RM20.4 juta

Anant Singh menganjurkan majlis itu bagi meraikan perkahwinan anak perempuannya, Shivangi Singh dengan Rishikesh Kumar, penuntut sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) dari Universiti Negeri Georgia di Atlanta.

Majlis yang berlangsung di kediaman keluarga Singh di kampung Nadawa itu menggunakan kawasan seluas 2.5 hektar.

Jumlah kehadiran tetamu dianggap luar biasa besar meskipun India sememangnya terkenal dengan penganjuran majlis perkahwinan mewah.

Menurut orang kepercayaan Singh, Munna Singh kepada AFP, tetamu dihidangkan 500,000 biji manisan tradisional serta jamuan yang disediakan oleh kira-kira 500 cef dan tukang masak.

Sebanyak satu tan daging kambing dilaporkan digunakan untuk menyediakan kebab dan kari.

Enam tapak pendaratan helikopter sementara turut dibina bagi menyambut tetamu kenamaan yang datang dari seluruh India.

Pengantin lelaki pula tiba dengan memakai cermin mata hitam sambil melambaikan selendang jingga, diiringi konvoi 151 kereta dengan angka ganjil dianggap membawa tuah dalam budaya Hindu.

Antara hadiah yang diberikan kepada Kumar ialah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Land Rover Defender.

Jalan menuju ke lokasi majlis turut mengalami kesesakan teruk sehingga seorang tetamu dilaporkan menaiki traktor dan meredah kawasan sawah bagi mengelak kesesakan itu, menurut The Times of India.

Tetamu turut disajikan dengan hiasan bunga menggunakan bunga-bungaan yang diimport dari China serta pertunjukan bunga api.

Singh turut merancang mengadakan perlumbaan kuda sebagai hiburan bagaimanapun, perlumbaan itu terpaksa dibatalkan pada saat akhir berikutan keadaan yang terlalu sesak dan tidak terkawal.

Orang ramai yang hadir tanpa jemputan dilaporkan memanjat pokok serta menara elektrik untuk menyaksikan perlumbaan itu manakala SUV yang sepatutnya dijadikan hadiah kepada pemenang kekal di lokasi majlis.

Singh yang lima kali dipilih sebagai anggota Dewan Undangan Negeri Bihar berdepan 28 kes jenayah yang masih dalam proses perbicaraan termasuk pembunuhan, cubaan membunuh, pemerasan dan penculikan.

Semua kes itu disenaraikan di laman web Persatuan bagi Pembaharuan Demokratik (ADR), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berusaha meningkatkan tadbir urus dan memperkukuh demokrasi. Bagaimanapun, Singh menafikan melakukan sebarang kesalahan.

Dalam wawancara televisyen sebelum majlis itu, Singh menolak tanggapan bahawa persiapan perkahwinan berkenaan luar biasa besar.

Katanya, dia turut mengadakan majlis dengan skala sama untuk anak perempuan sulungnya.

Kemewahan sambutan itu mengingatkan kepada majlis perkahwinan anak bilionair India, Mukesh Ambani iaitu Anant pada 2024 yang berlangsung selama beberapa bulan dengan kos dianggarkan sekurang-kurangnya AS$600 juta (kira-kira RM2.47 bilion).

Pemimpin dunia dan selebriti turut menghadiri sambutan berkenaan.

Sementara itu, musim perkahwinan di India baru sahaja bermula dengan kira-kira 5.2 juta majlis perkahwinan dijangka berlangsung di seluruh negara dari sekarang hingga 15 Disember.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news