am@hmetro.com.my.
Baca juga: Institusi Diraja tidak boleh dipolitikkan – Onn Hafiz
Kuala Pilah: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) supaya menjadikan kemelut yang berlaku sebagai pengajaran.
Baginda bertitah setiap EXCO hendaklah sentiasa memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing serta tidak
bertindak melampaui kuasa dan tanggungjawab yang ditetapkan.
“Segala peristiwa dan isu yang tercetus baru -baru ini harus dijadikan pengajaran dan pedoman oleh semua pihak terutamanya kamu semua sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Kamu hendaklah sentiasa memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing serta tidak bertindak melampaui kuasa dan tanggungjawab yang ditetapkan.
“Tumpukan sepenuh perhatian kepada portfolio yang diamanahkan dan laksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan kebijaksanaan,” titah Tuanku Muhriz.
Baginda bertitah pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Turut berangkat ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Turut hadir, Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.
Tuanku Muhriz bertitah, baginda tidak mahu perkara yang sama berulang sehingga boleh menjejaskan keharmonian, kestabilan dan kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.
Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada wakil-wakil rakyat yang terpilih untuk menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan pada kali ini.
“Pelantikan ini satu penghormatan, namun pada masa yang sama membawa tanggungjawab dan amanah yang besar kepada negeri serta rakyat.
“Kamu semua perlu memberikan sepenuh perhatian kepada tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Utamakan kepentingan rakyat, laksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesionalisme, serta pastikan setiap keputusan yang dibuat berlandaskan kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat,” titah baginda.
Tuanku Muhriz turut berdoa supaya Allah SWT sentiasa memberikan petunjuk kekuatan dan kebijaksanaan kepada Menteri Besar serta seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Semoga Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera, demi kepentingan seluruh rakyat,” titahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd