LATEST

UDA sasar jualan kasar RM200 juta

UDA sasar jualan kasar RM200 juta

Kuala Lumpur: Kempen Bonanza Memenuhi Impian 2026 anjuran UDA Holdings Berhad (UDA), mencatatkan pencapaian 70 peratus daripada sasaran jualan kasar RM200 juta setakat ini, membabitkan 21 pembangunan kediaman dan komersial di seluruh negara.

Baca juga: Backup Data Telefon: Cara Mudah Supaya Gambar Tak Hilang

Kempen yang berlangsung sehingga 31 Disember ini menawarkan pelbagai pilihan hartanah UDA kepada pembeli, selain insentif menerusi cabutan bertuah sempena ulang tahun ke-55 penubuhan syarikat itu, termasuk hadiah Proton e.MAS 5 dan lima keping emas HABIB seberat lima gram setiap satu dengan ketulenan 999.9.

Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali berkata, lebih 300 pembeli sehingga 25 November lalu layak menyertai cabutan kedua kempen berkenaan yang menawarkan enam hadiah bernilai hampir RM100,000.

“Bagi UDA, kejayaan pembangunan hartanah bukan sekadar diukur melalui jumlah unit yang dibangunkan atau nilai jualan yang dicapai.

“Apa yang penting, setiap pembangunan memberi manfaat kepada penduduk dan komuniti setempat melalui penyediaan kediaman yang selesa, kemudahan mudah diakses serta ruang dan peluang perniagaan yang dapat meningkatkan kesejahteraan komuniti,” katanya pada majlis cabutan bertuah kempen itu, di sini, hari ini.

Cabutan itu adalah siri kedua daripada tiga cabutan bertuah yang dianjurkan menerusi kempen berkenaan, selepas Cabutan Merdeka yang diadakan pada 2 September lalu.

Antara pembangunan kediaman yang menyertai kempen itu termasuk Residensi Dedaun, Residensi 38 Bangsar dan Residensi Akasia Raya di Lembah Klang; Amaanee Residences dan Eight & Eight Condominium di Pulau Pinang serta projek di Kedah, Perlis, Johor, Pantai Timur dan Sarawak.

Kempen itu turut memperkenalkan Program Referral bagi memperluas capaian kepada bakal pembeli menerusi pelanggan sedia ada dan rangkaian komuniti.

Sementara itu, Cabutan Hadiah Utama dijadualkan berlangsung pada April 2027 dengan menawarkan sebuah unit Residensi Dedaun di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor bernilai RM508,000 serta 10 keping emas HABIB seberat lima gram setiap satu.

Ahmad Fuaad berkata, penawaran unit kediaman sebagai hadiah utama itu adalah yang pertama dalam sejarah kempen hartanah UDA.

Pembeli yang ingin menyertai kempen berkenaan perlu membeli hartanah UDA yang layak dalam tempoh ditetapkan serta memenuhi syarat tempahan, Perjanjian Jual Beli (SPA) dan pembayaran yang ditetapkan, tertakluk kepada terma dan syarat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news