KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen daripada DAP, Tony Pua, berpandangan tiada keperluan untuk siasatan dijalankan berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkait isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.
Baca juga: “Kali Kedua Saya Menangis” – Izzue Islam Sebak Achey Bakal Dapat Anak, Semangat Untuk Terus Berusaha
Bercakap kepada pemberita selepas memberi keterangan mengenai kes itu di Bukit Aman, hari ini, Pua mendakwa ia kerana dokumen terbabit sudahpun dinyahklasifikasikan.
Malah, beliau mempersoalkan kewajaran siasatan itu berikutan status penyahklasifikasian dokumen berkenaan turut disahkan oleh seorang menteri di Parlimen.
“Dokumen itu sudah dinyahklasifikasikan. Apa lagi yang hendak disiasat? Apakah kesalahan yang sudah dilakukan? Saya sekadar mengetengahkan apa berlaku seperti yang tercatat dalam minit mesyuarat itu,” dakwanya.
Beliau yang ditemani oleh peguam, Haijan Omar, memaklumkan bahawa pegawai penyiasat menyoalnya mengenai hantaran dalam Facebook pada 18 November lalu yang memaparkan beberapa helaian minit mesyuarat itu.
“Mereka bertanya apa yang saya tulis, dan saya memaklumkan bahawa saya hanya menterjemahkan kandungan minit mesyuarat itu ke dalam bahasa Inggeris.
“Mereka juga bertanya sama ada saya tahu dokumen berkenaan sudah dinyahklasifikasikan. Saya memberitahu bahawa saya sudah membuat semakan, dan ia memang sudah dinyahklasifikasikan,” dakwanya.
Pua berkata, pegawai penyiasat turut bertanya siapa individu yang dirujuk sebagai ‘raja kleptokrat’ dalam hantaran Facebooknya itu, dan beliau memaklumkan bahawa ia merujuk kepada Najib.
Beliau turut mengaku adalah penulis hantaran terbabit dan memuat naiknya dalam Facebook.
“Saya tidak menafikan itu adalah akaun Facebook saya, saya yang menulis dan memuat naiknya. Bagaimanapun, jika terdapat sebarang dakwaan kesalahan, saya bersedia menjawabnya di mahkamah,” katanya.
Pua berkata, beliau memberi kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat sepanjang tempoh 45 minit memberi keterangan.
Malah, beliau menyifatkan tindakan mereka sepanjang proses rakaman percakapan itu sebagai profesional.
Katanya, pegawai penyiasat memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun tiada bayangan diberikan mengenai sebarang tindakan susulan bakal diambil.
Dalam pada itu, Pua turut membidas pihak daripada parti politik yang membangkitkan isu berkenaan, sekali gus menggesa mereka supaya memahami implikasi undang-undang apabila sesuatu dokumen telah dinyahklasifikasikan.
Terdahulu, Pua tiba di Bukit Aman sekitar jam 9.53 pagi sebelum memasuki pekarangan ibu pejabat polis itu kira-kira jam 10 pagi.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, dipetik memaklumkan bahawa polis menerima 55 laporan berhubung hantaran Facebook Pua yang didakwa menyentuh kandungan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan tahanan rumah Najib.
© New Straits Times Press (M) Bhd