am@hmetro.com.my
Baca juga: Dokumen dah dinyahklasifikasikan! Tony Pua gesa UMNO, PAS fahami undang-undang
Bukit Jalil : Pelakon, Keith Foo mengakui kewujudan penyakit ‘ain atau ‘evil eye’ hingga membuatkan dia lebih berhati-hati dalam berkongsi hal berkaitan peribadi termasuk hubungan cintanya bersama pelakon, Riena Diana.
Menurut Keith, 42, ibunya juga sering mengingatkan dirinya dan Riena, 29, supaya lebih berhati-hati dalam berkongsi hal berkaitan kehidupan peribadi kepada umum.
“Ya, dalam kepercayaan saya pun ada perkara yang sama. Kami memanggilnya ‘evil eye’ dan ibu juga selalu berpesan mengenai perkara seperti itu. “Kadang-kadang, dia turut memberitahu Riena dan sentiasa mengingatkan kami berdua,” kata Keith ketika ditemui di acara ‘Watch Party’ bersama barisan pelakon drama Suamiku Anak Mak disiarkan di Astro, malam tadi.
Mengulas lamjut, kata Keith, dia sememangnya seorang yang lebih mementingkan privasi dan berpendapat tidak semua perkara dalam kehidupan perlu dikongsikan kepada umum.
“Tidak ada apa-apa yang saya mahu elakkan. Cuma, bagi saya, ada perkara membabitkan isu dan kehidupan peribadi yang lebih baik disimpan sendiri.
“Kalau berkaitan kerja, memang kami akan kongsikan semuanya. Namun, dalam perkara tertentu, kita perlu tahu batas masing-masing. Penyakit ‘ain itu juga sesuatu yang saya percaya,” kata pelakon drama Toksik Cinta di TV3 itu.
Mengulas lanjut mengenai hubungannya dengan Riena, Keith berkata, perselisihan faham adalah perkara biasa dalam sesebuah perhubungan kerana ia sebahagian daripada proses mengenali dan memahami antara satu sama lain.
Katanya, dia juga lebih selesa untuk tidak berkongsi atau mengulas secara terbuka di media sosial sekiranya berlaku perselisihan faham antara mereka.
“Saya seorang yang lebih mementingkan privasi. Namun, saya rasa perkara tertentu bergantung kepada individu dan bagaimana mereka mengekspresikan diri masing-masing. Ada kalanya, saya memilih untuk tidak berkata apa-apa atau membabitkan sesiapa.
“Dalam apa jua hubungan, pertengkaran itu perkara biasa. Kalau tidak ada perselisihan faham, bagaimana kita hendak menyesuaikan diri dan mengenali satu sama lain?
“Saya rasa itu normal. Apa yang penting, hubungan kami semakin kukuh dari hari ke hari. Kami berdua fokus kepada kerjaya masing-masing dan tahu apa yang kami mahukan untuk masa depan bersama,” katanya.
Untuk rekod, Riena dan Keith mula menjalin hubungan cinta sekitar Jun 2024 selepas terbabit dalam penggambaran drama Salju Rindu.
© New Straits Times Press (M) Bhd