Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyifatkan keputusan tidak melantiknya sebagai Menteri Besar bukan sesuatu yang perlu dikesalkan, sebaliknya menghormati ketetapan yang telah dibuat.
Menurut laporan Malaysia Gazette, beliau berkata, soal pelantikan Menteri Besar bukan bergantung kepada kehendak individu, sebaliknya merupakan hak presiden parti serta tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Baca juga: Kemelut politik N. Sembilan makin reda? Exco baharu dijangka angkat sumpah esok
Jelasnya, sebagai pemimpin parti, beliau akur dengan keputusan berkenaan demi menjaga kepentingan dan kestabilan negeri.
“Siapa yang kata harapan ini? Semua orang ada harapan, cuma saya sudah beritahu awal-awal soal untuk menjadi Menteri Besar atau tidak, ini adalah prerogatif kepada presiden parti dan juga berkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
“Sebagai rakyat dan juga sebagai pemimpin parti, saya menjunjung kasih kepada tuanku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.
Foto: FB Jalaluddin Alias
Mengulas mengenai perasaannya selepas tidak dipilih menggalas jawatan berkenaan, Jalaluddin menegaskan perkara itu tidak menimbulkan sebarang kekecewaan dalam dirinya.
Sebaliknya, beliau mahu menumpukan perhatian terhadap usaha memperkukuh parti, menjamin kelancaran pentadbiran kerajaan negeri serta memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
“Saya okey dan tidak mempunyai sebarang rasa kekecewaan,” ujarnya.
Foto: FB Jalaluddin Alias
Dalam pada itu, Jalaluddin turut menekankan pentingnya kesetiaan terhadap institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan agar episod pergolakan yang pernah tercetus sebelum ini tidak kembali berulang.
“Ia bagi mengelak sejarah hitam yang pernah berlaku sebelum ini berulang,” katanya lagi.
Sumber: Malaysia Gazette (Nizam Zain)