KUALA LUMPUR – Malaysia tersenarai dalam kelompok tujuh negara di Asia yang mencatatkan purata kerugian akibat penipuan atau scam tertinggi bagi setiap individu, berdasarkan laporan Asia State of Scams.Penasihat Asia Tenggara Perikatan Anti-Scam Global (GASA), Rajeshpal Singh Sandhu berkata, kedudukan itu agak mengejutkan memandangkan negara yang mencatatkan purata kerugian lebih tinggi sebelum ini kebanyakannya terdiri daripada ekonomi maju seperti Jepun, Korea Selatan, Singapura, Taiwan dan Hong Kong.”Perkembangan ekonomi Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang meningkatkan kuasa beli rakyat turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada keadaan itu.”Sebagai masyarakat Asia, kita cenderung mempercayai orang yang mempunyai autoriti. Itu perkara yang baik, tetapi malangnya penipu mengambil kesempatan terhadap kepercayaan tersebut.”Keadaan itu antara sebab Malaysia kini berada dalam kelompok tujuh negara di Asia yang mencatatkan purata kerugian scam tertinggi,” katanya.Beliau berkata demikian pada sesi perkongsian Tech Sharing 6: The State of Scams 2026: Trends, Impact and Lessons for Malaysia anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sempena NEXSEC2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Khamis.Mengulas lanjut Rajeshpal berkata, hanya separuh daripada individu yang mengalami kerugian akibat scam di Malaysia tampil membuat laporan.Bagaimanapun katanya, kadar itu sebenarnya merupakan yang tertinggi di Asia berbanding beberapa negara lain termasuk Singapura dan Thailand.”Antara faktor mangsa tidak membuat laporan ialah proses yang dianggap rumit, tidak mengetahui saluran yang betul serta beranggapan tindakan itu tidak akan membawa hasil,” katanya.Sementara itu, Pengarah Asia Pasifik GASA, Brian D Hanley berkata, tindakan melaporkan insiden penipuan dengan segera penting bagi membantu pihak berkuasa dan institusi berkaitan mengenal pasti modus operandi sindiket serta mencegah lebih ramai menjadi mangsa.Menurutnya, kelewatan membuat laporan sehingga 12 atau 24 jam boleh menyebabkan peluang untuk mengesan dan menyelamatkan wang yang hilang semakin tipis.”Walaupun seseorang hanya berdepan cubaan penipuan tanpa mengalami kerugian wang, mereka tetap perlu melaporkannya kepada platform, bank atau pihak berkuasa kerana maklumat itu membantu usaha menangani jenayah berkenaan,” katanya.Beliau berkata, penggunaan kecerdasan buatan (AI) turut menjadikan kegiatan penipuan semakin meluas, pantas dan sukar dikenal pasti apabila sindiket menggunakan data peribadi, skrip khusus, klon suara serta video palsu bagi memperdaya mangsa.Brian berkata, penipuan kini turut menyasarkan semua peringkat masyarakat termasuk golongan muda dan pelajar universiti melalui iklan pekerjaan palsu serta penipuan pembelian dalam talian.Malah katanya, kira-kira 75 peratus rakyat Malaysia yang menjadi mangsa mengakui kejadian itu memberi kesan buruk terhadap kesejahteraan mental mereka, sekali gus menunjukkan keperluan meningkatkan sokongan kepada mangsa.Dalam pada itu, Profesor Madya Dr Manmeet Kaur Mahinderjit Singh dari Universiti Sains Malaysia (USM) menggariskan empat elemen penting yang perlu dikuasai graduan keselamatan siber bagi menghadapi perkembangan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pasca-kuantum.Beliau berkata, elemen pertama ialah penguasaan asas keselamatan siber dengan memahami sistem dan kelemahannya sebelum pelajar melangkah ke peringkat pengkhususan dalam bidang seperti keselamatan AI, termasuk memahami kaedah serangan serta langkah pertahanan.Katanya, elemen ketiga pula membabitkan pengalaman praktikal menerusi tugasan, projek tahun akhir dan latihan industri bersama pihak industri bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai situasi sebenar.”Seterusnya elemen keempat ialah pemahaman mengenai ekonomi keselamatan siber, termasuk kesan sesuatu serangan dan pertimbangan antara tahap keselamatan dengan ketersediaan perkhidmatan.”Dalam keselamatan siber, semuanya berkait dengan pertimbangan antara tahap keselamatan yang perlu dilaksanakan dengan ketersediaan perkhidmatan.”Kita perlu melihat bagaimana untuk melindungi rangkaian secara berperingkat tanpa menjejaskan operasi perkhidmatan,” katanya.Perkasa bakat tempatan tangani ancaman siberDalam pada itu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah ketika berucap pada majlis penutup NEXSEC2026 berkata, pembangunan bakat dan kepakaran tempatan dalam bidang keselamatan siber perlu diperkasakan bagi melahirkan tenaga pakar yang mampu menangani ancaman digital semakin kompleks.Katanya, usaha itu memerlukan kerjasama berterusan antara pihak industri dan institusi pengajian tinggi dalam menyediakan latihan, bimbingan serta peluang pembangunan kerjaya kepada bakat tempatan.”Pertandingan Capture the Flag (CTF) bagi mahasiswa dan latihan CTF untuk industri merupakan antara usaha penting dalam merapatkan jurang antara pengetahuan teori dengan keperluan sebenar industri.”Pengalaman praktikal seperti ini amat diperlukan dalam membangunkan tenaga pakar yang mampu mengenal pasti kelemahan sistem, menilai risiko dan menangani ancaman siber yang semakin kompleks,” katanya.Mengulas lanjut, beliau berkata, penyertaan seramai 1,500 peserta dari Malaysia dan negaranegara ASEAN dalam NEXSEC2026 mencerminkan komitmen bersama ke arah matlamat tersebut.Menurutnya, perkembangan daripada 250 peserta pada tahun lalu memperlihatkan potensi NEXSEC sebagai platform strategik dalam membina ekosistem keselamatan siber yang lebih kukuh, inklusif dan saling berhubung.Pada majlis berkenaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjuarai Pertandingan Capture the Flag (CTF) diikuti Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) manakala Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di tempat ketiga.Menurut pemenang yang juga wakil peserta UIAM, Mohammad Danish Hakim Mohd Nasir, pertandingan itu menguji keupayaan peserta menguasai sistem bagi mendapatkan flag yang ada di dalamnya.Katanya, pertandingan itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik penggodam menceroboh sistem, sekali gus membolehkan mereka memahami perspektif tersebut bagi menyelamatkan sistem dan mengambil tindakan awal sebelum berlaku kerosakan lebih serius.
Malaysia antara tujuh negara Asia catat kerugian scam tertinggi
Malay News | https://www.malay.news/malaysia-antara-tujuh-negara-asia-catat-kerugian-scam-tertinggi/