am@hmetro.com.my
Bukit Jalil : Pelakon dan penyanyi, Izzue Islam mengakui turut menitiskan air mata kegembiraan apabila mengetahui berita rakan seperjuangannya, Achey bakal bergelar bapa bila isterinya disahkan hamil selepas menanti selama 15 tahun.
Baca juga: Dulu BKJ kena kutuk, sekarang BAP pun guna kaedah bersemuka! -Sindir Onn Hafiz
Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 36, berkata, sebelum Achey dan isteri berkongsi kepada umum, mereka sudah memberitahu perkara itu kepadanya terlebih dahulu.
“Ketika mereka membuat pengumuman itu, sebenarnya sudah dua kali saya menangis dan meraikan kegembiraan terbabit. Mereka datang ke rumah untuk buat kejutan, berpura-pura menghantar kuih bahulu atau makanan.
“Kemudian, mereka menunjukkan sesuatu kepada Awin (isteri). Selepas itu, mereka berdua menangis. Saya pun tertanya-tanya, “Apa benda ini? Kenapa kau menangis?”
“Kemudian saya peluk Awin apabila melihat apa yang ditunjukkan menerusi telefon dan barulah kami tahu perkara itu,” kata Izzue kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, kata Izzue, dia tumpang gembira apabila Achey akan menimang cahaya mata tidak lama lagi dan tidak menolak andai suatu hari nanti dia dan isterinya juga akan dikurniakan rezeki sama.
Katanya, sepanjang tempoh 13 tahun melayari bahteri perkahwinan, tidak pernah sekalipun dia putus harapan untuk menimang cahaya mata sendiri. “Saya sangat gembira untuk mereka dan saya sendiri tidak pernah berhenti berusaha dan berdoa untuk mendapatkan zuriat.
“Kalau ada rezeki untuk saya dan Awin, mana tahu, kan? Tetapi usaha tetap perlu dilakukan. Kami tidak pernah berhenti berusaha dan tidak pernah berhenti berdoa. Tetapi sahabat kita, Achey, selepas 15 tahun pun Allah rezekikan. Kenapa kita mahu mengatakan tidak? Kenapa kita mahu berhenti?
“Kita perlu terus berusaha. Mana tahu, mungkin lima atau 10 tahun lagi, kalau dapat, dapatlah. Tetapi bagi saya, kalau berdua pun okay dan kalau ada zuriat pun okay,” katanya lagi.
Terdahulu, selepas 15 tahun menanti, Achey dan isterinya, Nor Hasanah Yahaya, akhirnya mengumumkan bakal menimang cahaya mata sendiri tidak lama lagi selepas disahkan hamil menerusi proses persenyawaan in-vitro (IVF) yang dijalani buat kali kedua.
© New Straits Times Press (M) Bhd