PETALING JAYA: Penyanyi, Fieya Julia mengakui bahawa lagu solo pertamanya, Perasaanku, merupakan lagu yang paling mendapat sambutan setiap kali dia mendapat undangan pentas, meskipun sudah lapan tahun dilancarkan.
Fieya atau Nur Syafiyah Sejali, 27, berkata, lagu berkenaan sememangnya membawa tuah dalam perjalanannya sebagai penyanyi sehingga namanya masih disebut sehingga ke hari ini menerusi lagu hit berkenaan.
Baca juga: Ernie Zakri diiktiraf Ikon Muzik Asia Tenggara
“Saya memang rasa lagu Perasaanku ini
memberi impak yang luar biasa dalam hidup saya. Walaupun sudah bertahun-tahun dilancarkan, lagu itu masih menjadi permintaan paling tinggi setiap kali saya mengadakan persembahan.
“Bila ada undangan untuk saya buat persembahan. Lagu itulah yang paling dapat permintaan paling tinggi. Mana-mana saya pergi pasti orang panggil saya ‘Fieya Julia Perasaanku’,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kata penyanyi kelahiran Sarawak itu, dia menghargai sokongan pendengar yang masih mengingati lagu itu dan bersyukur beberapa lagu lainnya seperti Cukup dan Doa Untuk Ibu turut diputarkan di stesen radio tertentu.
“Saya sangat menghargai apabila orang mengenali saya sebagai Fieya Julia, penyanyi lagu Perasaanku. Tetapi, saya berharap apabila mengeluarkan lagu baharu nanti, orang juga dapat mengenali saya menerusi karya-karya lain,” katanya.
Pun begitu, Fieya mengakui kurang selesa apabila orang ramai masih berkongsi video muzik Perasaanku yang memaparkan penampilannya ketika awal kemunculan dalam industri muzik.
Jelasnya, dia tidak kisah jika orang terus mengaitkan namanya dengan lagu itu, tetapi berharap video muzik lama berkenaan tidak dikongsi semula semata-mata untuk meraih tontonan.
“Saya okey sahaja apabila orang mengenali saya menerusi lagu itu, tetapi saya agak sukar menerima apabila video muzik lama itu masih dimuat naik. Ketika itu penampilan saya berbeza kerana saya masih belum bertudung.
“Kalau boleh, kalau mahu muat naik lagu Perasaanku itu, mungkin dalam bentuk audio sahaja. Saya kurang senang kalau masih ada yang mahu muat naik muzik video berkenaan sebab masa itu saya masih belum berhijab,” katanya.
Selain Perasaanku, Fieya turut mempunyai beberapa lagu lain yang mendapat perhatian pendengar, antaranya Cukup, Penantian dan Seperti Ini.
The post Lagu Perasaanku memang bawa tuah dalam hidup saya – Fieya Julia appeared first on Utusan Malaysia.