LATEST
National

Ubah suai senarai penerima darjah kebesaran, 2 bekas kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dihukum penjara

Ubah suai senarai penerima darjah kebesaran, 2 bekas kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dihukum penjara

KUANTAN: Dua bekas kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dihukum penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mengubah suai kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri ini tanpa kebenaran antara 2020 dan 2021.

Baca juga: Pengumuman KTM: Dua Graduan Terkejut Dengar Ucapan Tahniah

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Isa Mohd Yusof, 40, dan Amer Syafeeq Aziz, 34, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh.

Mohd Isa disabitkan bersalah atas 26 pertuduhan, manakala Amer Syafeeq pula dua pertuduhan.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd Isa, manakala Amer Syafeeq dua tahun. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim dan Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi.

Mohd Isa diwakili peguam, Mohammad Hamizey Mat Taib, manakala Amer Syafeeq diwakili Datuk Zaharman Zainal Abidin.

Bagaimanapun, peguam kedua-dua tertuduh dalam hujah rayuan hukuman ke atas anak guam mereka itu memohon penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Namun, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara dikenakan kerana kesalahan dilakukan kedua-dua tertuduh adalah serius.

Hakim kemudian membenarkan permohonan perintah penggantungan pelaksanaan hukuman penjara ke atas kedua-dua tertuduh sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah turut menetapkan ikat jamin RM130,000 terhadap Mohd Isa, manakala Amer Syafeeq pula RM10,000.

Pada 28 Disember 2022, Mohd Isa dan Amer Syafeeq mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengubah suai kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tanpa kebenaran antara 19 Februari 2020 dan 12 Oktober 2021.

Mohd Isa didakwa memasukkan nama 26 individu ke dalam laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang sebagai penerima pingat Datuk serta Datuk Seri daripada Sultan Pahang, sedangkan individu terbabit tidak disenaraikan untuk menerima anugerah berkenaan,

Amer Syafeeq didakwa melakukan kesalahan sama dengan memasukkan nama tiga individu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news