Kota Kinabalu: Bekalan elektrik di beberapa daerah di Pantai Timur Sabah berjaya dipulihkan antara 23 hingga 57 peratus setakat 3 petang tadi, menurut Sabah Electricity.
Baca juga: Warga asing disyaki tiada dokumen sah ‘bersepah’ di Lembah Jaya, Altimet lapor polis!
Menerusi pengkongsian di Facebook video kemas kini situasi gangguan bekalan elektrik, syarikat utiliti itu memaklumkan pemulihan dilakukan melalui stesen janakuasa Sandakan dan Tawau serta Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).
“Sabah Electricity memahami kesulitan yang dialami pengguna dan segala usaha terus dipergiat bagi mempercepatkan pemulihan bekalan elektrik,” menurut syarikat itu.
Menurut Sabah Electricity peratusan pemulihan tertinggi dilakukan di daerah Beluran dengan 57 peratus, Tawau (56 peratus), Semporna (50 peratus), Sandakan (45 peratus), Kinabatangan (36 peratus), Kunak (33 peratus) dan Lahad Datu (23 peratus).
Bagaimanapun, syarikat itu memaklumkan catuan bekalan elektrik secara bergilir atau load shedding masih perlu dilakukan di beberapa kawasan kerana kapasiti bekalan sedia ada belum dapat menampung permintaan semasa.
“Langkah penggiliran itu mengekalkan kestabilan sistem serta mengelakkan risiko gangguan bekalan elektrik secara menyeluruh,” katanya.
Pengguna boleh menyemak status catuan bekalan elektrik di kawasan masing-masing melalui aplikasi MySE+ serta mengikuti platform media sosial rasmi Sabah Electricity untuk maklumat terkini dan sahih
Terdahulu, Sabah Electricity memaklumkan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah disalurkan mengikut sistem penggiliran merentasi empat kumpulan dengan setiap giliran dijangka menerima bekalan selama tiga jam.
Kejadian menara runtuh pada 6.04 pagi semalam memutuskan dua litar talian penghantaran dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah, mengganggu bekalan elektrik dan menjejaskan 153,599 pengguna berdaftar.
Sabah Electricity menyasarkan memulihkan bekalan elektrik itu pada 2 Dis ini atau lebih awal.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini menerusi laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444, 088-515000 serta WhatsApp 019-8525427.
© New Straits Times Press (M) Bhd