LATEST

Rakyat Malaysia dikecam tengking pengawal keselamatan di Thailand

Rakyat Malaysia dikecam tengking pengawal keselamatan di Thailand

BANGKOK: Seorang penjual dalam talian warga Malaysia mencetuskan kemarahan pengguna media sosial Thailand selepas memarahi pengawal keselamatan wanita yang menegurnya kerana membuat siaran langsung di pasar raya borong Makro, daerah Sathon, di sini.

Kejadian berlaku Rabu lalu apabila penjual itu bersama kumpulannya menghabiskan masa lebih sejam di pasar raya berkenaan sambil menunjukkan pelbagai produk kepada penonton untuk ditempah menerusi siaran langsung.

Baca juga: Hujan lebat diramal landa 10 negeri, KL, Putrajaya, Labuan hingga 9 malam

Bagaimanapun, seorang pengawal keselamatan wanita menghampiri kumpulan itu dan memaklumkan aktiviti siaran langsung tidak dibenarkan di dalam premis berkenaan.

Kumpulan itu bagaimanapun meneruskan siaran langsung sebelum penjual berkenaan pergi ke kaunter khidmat pelanggan selepas siaran tamat untuk meminta pengurus cawangan hadir.

Dia turut meminta untuk bertemu pengawal keselamatan itu sambil mendakwa wanita berkenaan menolak barangan yang sedang dipegangnya.

Rakaman video berdurasi hampir 10 minit menunjukkan penjual itu menengking pengawal keselamatan berkenaan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin, selain menghamburkan kata-kata kesat serta menuding jari ke arah wanita itu dari jarak dekat.

Pengawal keselamatan itu dilihat mengangkat kedua-dua tangan sebagai tanda hormat masyarakat Thailand, sambil menjelaskan secara perlahan dia hanya meminta kumpulan berkenaan tidak membuat rakaman di dalam premis.

Pengurus cawangan kemudian memohon maaf bagi pihak pengawal keselamatan itu, namun penjual berkenaan tetap berkeras mahu wanita itu sendiri memohon maaf.

Seorang lagi kakitangan kemudian meminta pengawal keselamatan itu memohon maaf bagi menamatkan pertikaian sebelum wanita berkenaan menundukkan kepala.

Penjual itu kemudian memuat naik rakaman kejadian berkenaan di laman media sosial miliknya.

Dalam satu lagi video yang dirakam selepas meninggalkan pasar raya itu, seorang individu yang bersamanya berkata kumpulan penjual menerusi siaran langsung lain biasanya akan menghentikan aktiviti apabila ditegur pengawal keselamatan, namun kumpulan mereka enggan berbuat demikian.

Pengguna media sosial Thailand mendesak Makro mengambil langkah melindungi kakitangannya serta melarang pelancong menjalankan aktiviti jualan menerusi siaran langsung di premisnya.- AGENSI

The post Rakyat Malaysia dikecam tengking pengawal keselamatan di Thailand appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news