KUALA LUMPUR: Pelancaran Pelan Induk Industri Sukan Negara esok dilihat sebagai kesinambungan usaha memperkukuh industri sukan sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi negara, kata bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Baca juga: Dua pesara tentera didakwa tipu, palsukan dokumen tawaran tender MINDEF
Beliau menyambut baik pelancaran pelan berkenaan yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), esok.
Ahmad Faizal berkata, beliau turut berbangga apabila usaha pembangunan pelan induk itu yang dimulakan ketika beliau menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 2021 kini bakal direalisasikan menerusi pelancaran rasmi.
Menurutnya, pembangunan pelan berkenaan adalah hasil kerja keras pasukan KBS, khususnya Unit Industri Sukan yang diketuai Mustaza Ahmad, selain kerjasama rapat yang terjalin ketika beliau memegang amanah sebagai menteri.
Beliau berkata, pelan induk itu menjadi langkah strategik dalam menggariskan hala tuju, strategi serta inisiatif yang mampu memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem industri sukan, sekali gus menjana pulangan ekonomi kepada negara, atlet dan penggiat sukan.
“Matlamat utama pelan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran bahawa industri sukan mempunyai potensi ekonomi yang besar. Manfaatnya bukan sahaja terhad kepada atlet dan pemain sukan, malah membuka peluang kepada orang ramai untuk turut terlibat dalam pelbagai bidang berkaitan industri berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pelan induk itu melalui 12 sesi libat urus bersama pemegang taruh dan pemain industri sukan sejak November 2021 sebelum mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada Julai 2025.
Ahmad Faizal turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga KBS serta semua pihak yang terlibat dalam pembangunan pelan berkenaan, termasuk sumbangan pandangan, cadangan, teguran dan sokongan bagi memastikan kandungannya dapat ditambah baik.
Beliau turut memuji keterbukaan kerajaan meneruskan idea dan inisiatif yang baik demi kelangsungan serta kemajuan industri sukan negara.
Ahmad Faizal berharap pelan induk itu dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri sukan yang lebih mampan, berdaya saing serta mampu menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd