ISKANDAR PUTERI : Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengesahkan lima kontena yang disyaki membawa muatan sisa elektronik (e-waste) di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, di sini kelmarin sebenarnya mengandungi skrap logam.
JAS Johor mengesahkan perkara itu hasil pemeriksaan fizikal terhadap lima kontena berkenaan yang dilaksanakan Unit Penguatkuasaan Buangan Terjadual (PYDT) jabatan berkenaan.
Katanya, operasi penguatkuasaan bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Unit CCU Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Gelang Patah serta dihadiri wakil syarikat pengimport.
“Semakan dokumen pengimportan turut mengesahkan dagangan berkenaan mematuhi kriteria ditetapkan selain memiliki Sijil Kelulusan (COA) yang sah daripada SIRIM Berhad.
“Ini membuktikan muatan dalam kelima-lima kontena itu adalah skrap logam dan bukannya sisa elektronik seperti disyaki,” menurutnya dalam satu perkongsian di Facebook, hari ini.
JAS Johor berkata, sebagai negara anggota Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Merentas Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusannya, Malaysia tertakluk kepada prosedur antarabangsa yang ketat.
Katanya, pengimportan buangan terjadual tanpa kelulusan bertulis Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling adalah kesalahan serius mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024).
“Mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan undang-undang berat termasuk hukuman penjara mandatori dan denda sehingga RM10 juta.
“Kontena terbabit juga boleh diarahkan dihantar pulang serta-merta ke negara asal sekiranya didapati membawa buangan terjadual tanpa kelulusan,” katanya.
Jabatan itu juga menegaskan akan bekerjasama dengan rakan strategik di pintu masuk negara dan memperhebat operasi penguatkuasaan bagi membanteras cubaan penyeludupan sisa berbahaya demi melindungi kedaulatan dan kelestarian alam sekitar negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pencemaran alam sekitar boleh menyalurkan aduan menerusi talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel aduan_k@doe.gov.my atau portal e-Aduan JAS.
© New Straits Times Press (M) Bhd