hafidzul@hmetro.com.my
Baca juga: Mahu terus berbakti walau telah tiada, Akmal Saleh ikrar jadi penderma organ
Kajang: Polis giat memburu tiga lelaki bersenjatakan parang dan tukul besi yang menyamun kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Bandar Teknologi Kajang, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 2.23 petang itu, kumpulan penjenayah terbabit bertindak melarikan diri dengan menunggang dua motosikal sejurus selepas melarikan barangan kemas berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian rompakan berkenaan dilakukan tiga suspek lelaki.
“Siasatan awal mendapati kejadian membabitkan tiga lelaki bersenjatakan parang dan tukul besi.
“Jumlah kerugian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang giat menjalankan usaha mengesan serta memberkas kesemua suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dengan menggunakan senjata berbahaya yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Muhammad Nabil Aizat di talian 013-6232713 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan tiga lelaki merompak kedai emas di sebuah pasar raya.
Salah seorang suspek berbaju jingga manakala dua lagi memakai baju hitam dikesan menaiki tangga eskalator ke tingkat 1 sebelum merompak kedai emas.
Berdasarkan maklumat awal dari saksi kejadian, dua daripada suspek dikesan bersenjatakan sebilah parang dan tukul besi.
“Suspek yang bersenjatakan parang dilaporkan masuk ke dalam kedai dan menuju ke arah dua pekerja yang berada dalam premis, manakala dua lagi suspek bertindak memecahkan rak pamer barang kemas sebelum memasukkannya dalam satu beg.
“Suspek hanya mengambil masa sekitar 40 saat melakukan rompakan itu sebelum keluar melarikan diri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd