LATEST

‘Barista’ didakwa rogol gadis bawah umur, miliki pornografi kanak-kanak

‘Barista’ didakwa rogol gadis bawah umur, miliki pornografi kanak-kanak

am@hmetro.com.my

Baca juga: Polis buru tiga suspek rompak kedai emas

Ayer Keroh: Seorang pembancuh kopi dituduh di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan merogol gadis bawah umur, memiliki bahan pornografi kanak-kanak dan bahan lucah.

Tertuduh, Hidayatullah Tawadhu, 22 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan minta dibicarakan dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah dan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Mengikut pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun sembilan bulan di sebuah kafe di Persimpangan Tiang Dua, di sini pada 23 September lalu, kira-kira jam 8.17 malam.

Dia dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (KK), sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati memiliki bahan pornografi kanak-kanak iaitu video dan gambar lucah di tempat sama pada 31 Ogos lalu, kira-kira jam 2.50 petang.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan RM40,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Hakim Rohatul Akmar bagaimanapun tidak memutuskan perintah berkaitan jaminan kerana tiada sesiapa hadir untuk menjamin tertuduh serta menetapkan kes disebut semula pada 15 Januari 2027.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret tertuduh berdepan satu pertuduhan memiliki telefon bimbit yang mengandungi bahan lucah bagi tujuan pengedaran pada 23 November lalu, kira-kira jam 8.59 malam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Yusri dan mahkamah menetapkan kes untuk sebutan pada 11 Januari 2027.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news